Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari memaklumkan Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) secara kolektif melibatkan kerajaan, agensi, NGO serta rakyat.
Bawa harapan PM Anwar
Menurut beliau menerusi hantaran di media sosial, penyertaan itu dizahirkan menerusi Misi Sumud Nusantara 2026 yang membawa harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia bagi memastikan bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat disalurkan dengan lancar.
“Petang ini telah berlangsung sidang media bagi Misi Sumud Nusantara 2026. Membawa harapan besar YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat Malaysia, Insya-Allah kami akan memulakan Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia bagi memastikan penghantaran 30 kontena bantuan kritikal ke Gaza dapat dilaksanakan dengan lancar,” tulisnya.

Bantuan disusun ikut keperluan rakyat disana
Difahamkan, misi ini melibatkan keseluruhan 374 tan bantuan kemanusiaan dimana bantuan tersebut disusun bagi memenuhi keperluan asas rakyat Gaza yang berdepan kepungan berpanjangan serta sekatan kemasukan bekalan, khususnya di sempadan Rafah.
Bantuan-bantuan berkenaan merupakan hasil dari sumbangan jutaan rakyat Malaysia, termasuk syarikat, NGO, serta Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa Malaysia juga mencatat sejarah sebagai negara pertama yang menyertai misi ini secara kolektif sebagai sebuah negara, merangkumi komitmen menyeluruh daripada Kerajaan, agensi, NGO serta rakyat Malaysia.
Misi Global Sumud Flotilla 2026 kali ini menghimpunkan lebih banyak penyertaan berbanding tahun lalu dengan penglibatan 100 buah negara.

Difahamkan, misi Sumud Nusantara 2026 ini adalah pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza, di samping menggerakkan diplomasi kemanusiaan secara proaktif di peringkat antarabangsa.
Beliau dalam masa sama menyeru rakyat Malaysia untuk terus mendoakan kelancaran misi tersebut agar bantuan yang dihantar benar-benar sampai kepada rakyat Gaza yang memerlukan
“Saya memohon doa dari seluruh rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik agar kita bersatu atas nama kemanusiaan demi keamanan sejagat.
Birruh, Biddam, Nafdika Ya Aqsa
Free Palestine 🇵🇸 ”ujarnya.

Sumber: Facebook Amirudin Shari




