Malaysia di tangga kelima destinasi paling mesra Muslim

Malaysia di tangga kelima destinasi paling mesra Muslim

MELAKA: Malaysia kini berada di kedudukan kelima dunia sebagai destinasi paling mesra Muslim selepas 10 tahun berturut-turut berada di tangga teratas dalam Global Economy Indicator.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara tidak langsung pasaran pelancongan halal bernilai AS$256.5 billion diraih pada 2023 dan ia dijangka mencecah AS$410.9 bilion menjelang 2032.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, Melaka yang dipilih menganjurkan Hari Pelancongan Sedunia 2025 September ini bukan sahaja tepat pada masanya malah bersifat visi masa hadapan kerana ia menjadi platform global untuk memperlihatkan keunikan sebenar Malaysia.

“Biarlah Hari Pelancongan Sedunia di Melaka menjadi detik yang memberi inspirasi kepada dunia, menunjukkan bahawa Malaysia bersedia untuk memimpin, menyambut dan membentuk masa depan pelancongan yang berasaskan nilai dan bermakna.

“Tahun lalu sahaja, Melaka mencatatkan kedatangan 15 juta pelancong sekali gus menjana pendapatan pelancongan sebanyak RM12.68 bilion yang merupakan satu pencapaian besar di bawah Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Dalam tempoh yang sama, Malaysia pula menerima 37.9 juta pelawat menunjukkan peningkatan sebanyak 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Dari Januari hingga April tahun ini, Malaysia menerima 13.3 juta pelancong berbanding 11.06 juta dalam tempoh yang sama pada 2024 menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus,” katanya berucap pada majlis perasmian Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025, Persidangan Pelancongan Dunia 2025 dan ulang tahun ke-17 Melaka sebagai Bandar Warisan Dunia UNESCO di Stadthuys, Banda Hilir di sini malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong Kim Sing yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid berkata, bagi menyokong momentum tersebut sejak Januari hingga Mei tahun ini Malaysia telah meluluskan lapan laluan antarabangsa baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 116 laluan antarabangsa aktif, selain lapan perkhidmatan sewa khas (charter).

Jelasnya, itu bertujuan bagi memastikan akses yang lebih baik, hubungan yang lebih kukuh, dan keyakinan yang lebih tinggi terhadap Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong menjelang Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) nanti.

“Alhamdulillah ini adalah bukti nyata bahawa dunia kini memandang kita bukan sekadar destinasi tetapi sebagai hab strategik untuk meneroka rantau ini, dengan akses, kedalaman budaya dan nilai sebenar untuk pelancong global hari ini,” katanya.

Menjelang TMM 2026 kata Ahmad Zahid, kerajaan bukan sekadar melancarkan kempen tetapi lebih penting adalah mengenai hala tuju nasional di mana pelancongan bukan lagi latar belakang, tetapi pemacu utama kepada kelestarian, keterangkuman dan kesiapsiagaan masa depan. – UTUSAN

Scroll to Top