Malaysia, Filipina perkukuh kerjasama strategik demi masa depan ASEAN – PM

Malaysia, Filipina perkukuh kerjasama strategik demi masa depan ASEAN – PM

Kuala Lumpur: Malaysia dan Filipina komited untuk bersama-sama memperkukuh kerjasama strategik demi menjamin masa depan ASEAN yang lebih aman dan bersatu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar berkata komitmen itu antara aspek yang disentuh dalam perbualan telefon beliau dengan Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr hari ini.

“Perbincangan turut menyentuh aspek keamanan dan keharmonian di perairan antarabangsa serta sempadan, yang menjadi keutamaan bersama demi kestabilan serantau,” katanya.

Anwar berkata beliau turut berkongsi perkembangan positif rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja, yang dijangka dimuktamad pada Khamis melalui kesepakatan Menteri Pertahanan kedua-dua negara semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) Luar Biasa di sini.

Perdana Menteri berkata perkembangan itu menandakan satu lagi langkah ke hadapan dalam menjayakan aspirasi ASEAN sebagai rantau yang damai, stabil dan makmur.

Menteri Pertahanan Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Natthaphon Narkphanit, Panglima Angkatan Tentera serta wakil kerajaan kedua-dua negara dijangka menyertai mesyuarat GBC itu.

Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam 28 Julai lepas menerusi mesyuarat khas yang dipengerusikan Anwar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top