Malaysia Fokus perkukuh tangani rasuah, tingkat kedudukan CPI

Malaysia Fokus perkukuh tangani rasuah, tingkat kedudukan CPI

anbia@hmetro.com.my

Putrajaya: Pencapaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia dijangka akan terus meningkat susulan komitmen serta usaha gigih kerajaan dalam meningkatkan ketelusan, mengurangkan ketirisan dalam memerangi rasuah.

Terbaru Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas CPI bagi membincangkan status pelaksanaan inisiatif serta strategi memperbaiki prestasi Malaysia dalam CPI berdasarkan hasil dapatan analisis survei yang digunakan dalam CPI.

Berdasarkan mesyuarat itu, beberapa strategi pembaharuan dikenal pasti untuk diberi

keutamaan oleh setiap Focus Group (FG) CPI antaranya pembudayaan integriti dan adaptasi teknologi dalam usaha membanteras rasuah dengan menjadikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai role model kepada PBT yang lain.

Selain itu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) diminta untuk terus melaksanakan libat urus bersama komuniti perniagaan dan pelabur termasuk Pasukan Petugas Khas pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) bagi mendapatkan maklum balas isu rasuah yang boleh menjejaskan prospek perniagaan dan pelaburan di Malaysia.

Prestasi Malaysia dalam laporan IMD World Competitiveness Ranking 2025 apabila Malaysia menunjukkan peningkatan 11 anak tangga dari kedudukan ke-34 pada tahun 2024 ke kedudukan ke-23 pada tahun 2025 ini.

Indikator Sogokan dan Rasuah yang meningkat sebanyak 12 anak tangga turut menyumbang kepada peningkatasn prestasi Malaysia dalam IMD.

Pasukan Petugas Khas CPI yang diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara akan terus memberi komitmen tertinggi dalam memperkasa usaha memperkukuh tatakelola dan pencegahan rasuah secara menyeluruh melalui pendekatan keseluruhan Kerajaan (whole-of-Government approach).

Diharapkan pelaksanaan inisiatif strategik oleh Pasukan Petugas Khas CPI ini akan memberi impak positif kepada prestasi Malaysia dalam CPI akan datang, sekaligus meningkatkan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap sistem pentadbiran negara.

Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, wakil Transparency International Malaysia serta pakar-pakar yang dilantik bagi membantu pelaksanaan strategi CPI.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top