Petaling Jaya: Malaysia sedang giat berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif 25 peratus yang akan berkuat kuasa pada 1 Ogos ini dengan sasaran untuk mengurangkannya di bawah paras 20 peratus.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pengumuman berhubung perkara itu dijangka dibuat sebaik sahaja semua terma dimuktamadkan.
“Perbincangan sedang berjalan. Malah, rundingan diteruskan minggu ini, jadi kita masih berada di landasan untuk mencapai tarikh akhir itu. Sebaik terma dipersetujui, saya percaya pengumuman akan dibuat,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025, semalam.
Mengenai kemungkinan lanjutan tarikh akhir, Tengku Zafrul berkata, ia bergantung kepada pentadbiran Presiden AS Donald Trump, sambil menambah tiada sebarang rundingan rasmi mengenai lanjutan diadakan setakat ini.
“Setiap negara berdepan cabaran berbeza berkaitan dengan perkara yang boleh kita tawarkan. Kita tidak boleh menawarkan perkara yang kita tidak ada atau perkara yang kita rasa mungkin boleh memudaratkan industri Malaysia. Ini adalah faktor yang perlu kita pertimbangkan dengan teliti,” katanya.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul enggan mendedahkan kompromi yang ditawarkan Malaysia dalam perbincangan perdagangan yang sedang berjalan dengan AS.
Dilaporkan bahawa halangan bukan tarif menjadi tumpuan utama perbincangan yang menyentuh beberapa isu seperti pensijilan halal dan perolehan kerajaan yang berkait rapat dengan kepentingan negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd