bhbiz@nstp.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia akan menghantar pegawai ke Washington untuk memulakan proses dialog mengenai tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Malaysia akan menyesuaikan diri dan melakukan apa saja untuk menjaga kepentingan ekonomi dalam mendepani cabaran tarif global.
“Angin mungkin beralih, tetapi Malaysia tidak hanyut, malah strategi kepelbagaian perdagangan negara sudah semakin meningkat.
“Walaupun Malaysia berhasrat untuk kekal sebagai rakan perdagangan yang teguh dengan AS, negara ini akan seiring melakukan apa saja untuk menjaga kepentingan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Persidangan Pelaburan Asean 2025, di sini, sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat Asean (AFMGM) ke-12 bermula 7 hingga 10 April ini.
Anwar berkata, ia termasuk membabitkan diri secara proaktif dengan AS ke arah mencapai hasil yang saling menguntungkan.
Menurutnya, pada masa sama turut mempelbagaikan dan mengukuhkan hubungan dengan semua pasaran perdagangan utama di seluruh Kesatuan Eropah (EU), Asia, Asia Barat dan Afrika.
“Kami tidak percaya kepada diplomasi megafon. Sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘soft diplomacy’ melalui pembabitan secara senyap, kami akan menghantar pegawai kami ke Washington untuk memulakan proses dialog.
“Meskipun ruang untuk mengkaji semula hasrat asal mungkin terhad, masih terdapat peluang untuk menyesuaikan pelaksanaan dasar itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd