mhafis@mediaprima.com.my
Putrajaya: Malaysia merakamkan penghargaan kepada kerajaan Turkiye atas peranan penting dan sokongan yang diberikan sehingga 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dibebaskan pihak berkuasa Israel, semalam.
Wisma Putra berkata, penghargaan turut diberikan kepada kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN yang mempunyai kedutaan di Tel Aviv, Israel atas bantuan berharga mereka dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia.
Menurutnya, kesemua rakyat Malaysia selamat dan berada dalam keadaan sihat.
“Mereka akan berada di Istanbul untuk pemeriksaan kesihatan sebelum pulang ke Malaysia esok (hari ini) atau Isnin ini. Kumpulan terbabit sebelum itu berlepas dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dari Eilat, Israel pada jam 1.40 tengah hari waktu tempatan dan tiba di Istanbul, Turkiye pada jam 3.40 petang waktu tempatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Katanya, Kementerian Luar Negeri turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan tegas serta usaha tanpa mengenal penat lelah dalam memastikan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan.
“Kementerian juga menghargai usaha Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan pasukan Sumud Nusantara, yang dengan semangat dan dedikasi mereka menyerlahkan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin.
“Walaupun flotilla ini tidak berjaya sampai ke Gaza, misi ini berjaya meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai sekatan haram oleh rejim Zionis Israel,” katanya.
Menurut Wisma Putra, penyertaan rakyat Malaysia dalam misi ini menegaskan semula komitmen negara dalam menyokong perjuangan Palestin serta menentang kekejaman, kebuluran, bencana kemanusiaan yang tragik dan kemusnahan yang sedang berlaku di Gaza.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kerjasama bagi memastikan usaha kemanusiaan sentiasa dilindungi dan solidariti global untuk Palestin terus diperkukuh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




