Malaysia-India perkukuh hubungan demi kemakmuran lebih inklusif – PM

Malaysia-India perkukuh hubungan demi kemakmuran lebih inklusif – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan terus memperkukuh hubungan baik dengan India demi manfaat bersama, kestabilan serantau serta kemakmuran yang lebih inklusif buat kedua-dua negara.

Anwar berkata, perkara itu disentuh ketika beliau menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy yang bakal menamatkan tempoh perkhidmatan di negara ini tidak lama lagi.

Beliau berkata, pertemuan itu dimanfaatkan bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan India yang kini berada pada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif, sekali gus mencerminkan iltizam bersama dalam memperluas kerjasama merentasi pelbagai bidang.

Perdana Menteri berkata, kerjasama itu meliputi perdagangan, digital, kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat.

“Saya turut menyentuh perkembangan positif perdagangan dua hala yang mencecah ASD18.59 bilion pada 2025, sekali gus mengekalkan India sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama dalam bidang digital dan teknologi baharu turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan menerusi penganjuran Mesyuarat Pertama Malaysia-India Digital Council (MIDC) serta MY-India AI Conclave di ibu negara baru-baru ini. – Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top