Malaysia jadi lokasi buang sampah plastik AS

Malaysia jadi lokasi buang sampah plastik AS

Putrajaya: Malaysia akan menahan sebuah kontena dari Los Angeles, Amerika Syarikat yang disyaki mengandungi barang dagangan sisa plastik apabila ia tiba di Pelabuhan Klang Isnin ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan tadi berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerima maklumat daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lalu berhubung satu kontena dari Los Angeles yang disyaki mengandungi sisa plastik.

Kapal itu berlepas dari Los Angeles pada 14 Februari lalu dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 22 Mac.

Beliau berkata, JAS selaku ‘Competent Authority’ bagi kawalan sisa plastik merentas sempadan di bawah Konvensyen Basel yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 mendapati tiada sebarang permohonan pengimportan sisa plastik diterima dari negara pengeksport.

Tuan Ibrahim berkata, JAS sudah menghubungi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Westport Malaysia Sdn Bhd dan Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan penahanan kontena itu.

“Pemeriksaan bersepadu JAS, JKDM, LPK, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan dijalankan sejurus kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang.

“Saya sudah mengarahkan JAS bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang berkenaan untuk membanteras kemasukan haram sisa plastik ke Malaysia dari negara itu,” katanya.

Tuan Ibrahim turut memberi amaran kepada ejen pengimport, syarikat kapal dan pengimport yang bersubahat dalam mengimport sebarang sisa terutamanya sisa plastik ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Tindakan tegas akan diambil jika mereka gagal mematuhi kriteria dan prosedur pengimportan sisa plastik yang ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

Scroll to Top