Malaysia juara dunia regu berpasukan selepas insiden penuh kontroversi

Malaysia juara dunia regu berpasukan selepas insiden penuh kontroversi
Malaysia juara dunia regu berpasukan selepas insiden penuh kontroversi

Skuad sepak takraw negara beraksi menentang Thailand dalam acara akhir regu berpasukan pada Kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa. Foto: Bernama

SKUAD sepak takraw negara muncul juara dunia acara regu berpasukan selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand dalam aksi final Piala Dunia Sepak Takraw yang berlangsung di Stadium Titiwangsa sebentar tadi.

Namun kemenangan itu dibayangi insiden kontroversi selepas regu ketiga Thailand enggan meneruskan permainan kerana memprotes keputusan pengadil.

Pemain Thailand mendakwa pengadil membuat kesilapan membatalkan mata Thailand walaupun ulang tayang menunjukkan kaki pemain mereka, Puthawan Sopa telah melebihi garisan sebelum melakukan libasan.

Dalam perlawanan itu, mata pendahuluan pasukan negara disumbangkan oleh regu pertama negara yang dibarisi oleh Muhammad Zulkifli Abd Razak, Muhammad Afifuddin Razali, dan Aidil Aiman Azwawi.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia juara dunia regu berpasukan selepas insiden penuh kontroversi

Trio negara mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan regu Thailand yang diwakili oleh Pornthep Tinbangbon, Jirasak Pakbuangeon, dan Marukin Phanmakon dalam aksi tiga set yang cukup sengit.

Selepas memenangi set pertama dengan keputusan 15-9, regu negara bagaimanapun akur dengan kebangkitan lawan pada set kedua apabila tewas 13-15.

Begitupun, gandingan negara kembali memperkemas permainan pada set penentuan untuk mencatatkan kemenangan 15-12, sekali gus meletakkan Malaysia di hadapan.

Thailand kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi kemenangan regu kedua mereka yang menampilkan gandingan Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen, dan Wuttinun Kamsanor.

Mereka menewaskan regu kedua Malaysia yang dibarisi oleh Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias, dan Farhan Adam dengan keputusan 15-6, 15-10.

Kemenangan Malaysia akhirnya disahkan menerusi regu ketiga negara, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Hafizul Hayazi Adnan, dan Amirul Zazwan Amir.

Mereka menang selepas trio Thailand, Jakkrit Tinbangbon, Puthawan Sopa, dan Wichan Temkort enggan meneruskan permainan selepas memprotes keputusan pengadil ketika perlawanan berada pada kedudukan 15-13, 14-13.

Scroll to Top