
Pemain negara meraikan kejayaan muncul juara Kejohanan Empat Negara Asia 2025 di Jakarta, Indonesia. FOTO: Daun Kering Photography
MALAYSIA menutup tirai Kejohanan Empat Negara Asia 2025 dengan penuh bergaya apabila muncul juara selepas menamatkan saingan tanpa kalah di Jakarta, Indonesia pada Ahad.
Skuad negara kendalian Ahmad Rizal Abdul Wahab dibarakan Persatuan Minifootball Terengganu (PMT) itu diketuai kapten Roslee Ariffin, Muhammad Aqil Akasah Muhammad Nazmi, Ahmad Rozaini Abu Bakar, Muhammad Danish Haiqal Nazree dan Muhammad Hisyam Ismail.
Turut memperkuatkan cabaran Muhammad Adam Uwais Mohd Armi, Muhammad Naqib Sharipuddin, Muhammad Alif Aiman Abd Ghani, Muhammad Izzan Nazran Mat Rodzi dan Muhammad Adam Jamee Mohd Armi
Malaysia membuka langkah cemerlang di Kompleks Sukan Goozone, Jakarta dengan menundukkan tuan rumah Indonesia 4-2 sebelum berpesta gol 5-0 ke atas Taiwan, seterusnya membelasah Singapura 8-0 dalam aksi penutup sekali gus membawa pulang trofi kejuaraan.
Sementara itu, pengurus pasukan, Dr Mohd Shahrul Faiz Mohd Noor menyifatkan kejayaan itu hadiah manis buat rakyat Malaysia menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 pada 31 Ogos ini.

Skuad negara di Kejohanan Empat Negara Asia 2025
“Ini julung kali kejohanan dianjurkan dan kita mengungguli dengan memenangi semua perlawanan. Ia bukti kemampuan skuad muda negara menyaingi pasukan serantau serta suntikan keyakinan besar kepada pembangunan minifootball tanah air,” katanya kepada Sukan Sinar.
Katanya lagi, kejayaan itu ditunjang oleh disiplin, dedikasi dan semangat juang tinggi pemain selain sokongan padu Persatuan Minifootball Malaysia (MIFOM), PMT dan semua pihak terbabit.
Ahmad Rizal pula menyifatkan pencapaian di Jakarta membuka lembaran baharu buat sukan tersebut di negara ini.
“Selepas ini fokus kami adalah pembangunan dan mencungkil lebih ramai bakat muda agar Malaysia terus bersaing di pentas antarabangsa,” jelasnya.
Sementara itu, Roslee mengakui kemenangan menentang tuan rumah adalah kenangan paling indah buat pasukan.
“Walaupun persiapan singkat, kami berjaya bermain mengikut perancangan dan menghadiahkan trofi ini kepada seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan serta kepercayaan,” katanya.