Putrajaya: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel mendaftarkan tanah secara haram di Tebing Barat yang diduduki sebagai ‘tanah kerajaan’.
Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa pendaftaran itu cubaan untuk mengabsahkan di bawah undang-undang Israel, tindakan yang jelas adalah peluasan penempatan haram, sekali gus mengukuhkan pendudukan secara tidak sah ke atas wilayah Palestin.
“Tindakan yang belum pernah berlaku sejak 1967 ini merampas tanah Palestin, memperluas aneksasi dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Geneva Keempat serta Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Resolusi 2334,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kementerian itu menyatakan bahawa tindakan berkenaan mengukuhkan pendudukan haram, merampas tanah Palestin dan menegaskan kawalan ke atas wilayah Palestin, yang kesemuanya menyalahi undang-undang antarabangsa serta menjejaskan hak rakyat Palestin dan sebarang prospek penyelesaian dua negara yang adil.
Malaysia, menurut Wisma Putra, “menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak langkah-langkah yang tidak sah ini, menuntut Israel bertanggungjawab dan memastikan hak rakyat Palestin dihormati, termasuk hak mereka yang tidak boleh diambil ke atas tanah mereka yang kini sedang diceroboh dan dirampas secara sistematik melalui penempatan haram dan langkah pendaftaran tanah.”
Malaysia turut menegaskan semula solidariti tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk kebebasan, keadilan dan penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




