nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan yang mensasarkan orang awam dan infrastruktur awam di Arab Saudi yang berlaku semalam.
Kejadian yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serta gangguan ketara terhadap operasi lapangan terbang dan penerbangan komersial di negara berkenaan.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan menegaskan, Malaysia menzahirkan solidariti bersama kerajaan Arab Saudi serta menyokong penuh usaha negara itu untuk mempertahankan kedaulatan, keutuhan wilayah dan keselamatan negaranya.
”Malaysia turut merakamkan ucapan takziah dan bersimpati atas kehilangan nyawa dalam insiden terbabit serta mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh,” kata kenyataan itu, hari ini.
Dalam pada itu, Malaysia turut menyatakan kebimbangan amat mendalam terhadap peningkatan ketegangan serta keganasan yang berlaku sejak kebelakangan ini di rantau berkenaan.
Sehubungan itu, Malaysia menggesa semua pihak terbabit agar sentiasa menghormati undang-undang antarabangsa dan mengutamakan penyelesaian secara aman.
”Semua pihak digesa mencari penyelesaian menerusi saluran dialog dan diplomasi demi mengembalikan keamanan, keselamatan serta kestabilan yang berkekalan di rantau berkenaan, “katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 12 orang terkorban manakala 309 yang lain cedera dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, semalam.
Pihak berkuasa penerbangan awam tempatan turut memaklumkan bahawa empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan terkorban dalam serangan itu.
Serangan berlaku akibat ketegangan semakin meningkat susulan beberapa siri serangan misil dan dron oleh kumpulan Houthi terhadap lapangan terbang serta kemudahan di Arab Saudi sejak kebelakangan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




