05 Jun 2026 02:40pm
Masa membaca: 4 minit

Malaysia menyatakan solidariti bersama UNIFIL dan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan yang menyasarkan pasukan pengaman PBB. – Gambar hiasan
PUTRAJAYA – Malaysia mengecam serangan berterusan terhadap pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan serta menzahirkan ucapan takziah kepada Serbia susulan kematian seorang anggota pengaman negara itu yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan Malaysia menyatakan solidariti bersama UNIFIL dan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan yang menyasarkan pasukan pengaman PBB.
“Serangan terhadap pasukan pengaman serta orang awam ini berpunca secara langsung daripada pelanggaran Israel terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Lubnan, dan tidak boleh dijustifikasi dalam apa keadaan jua,” menurut kementerian itu, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.
Kerajaan Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada keluarga dan kerajaan Serbia susulan kematian seorang anggota pengaman Serbia pada Khamis akibat kecederaan dialami dalam insiden berhampiran Marjayoun di selatan Lubnan pada 3 Jun lepas.
Malaysia turut berharap dua anggota pengaman dari El Salvador dan Sepanyol yang cedera dalam insiden pada 3 Jun itu cepat sembuh, menurut Wisma Putra.
“Malaysia menggesa agar keganasan ini dihentikan dan menyeru semua pihak untuk mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, bagi memastikan keselamatan pasukan pengaman PBB dan orang awam di Lubnan,” jelas kementerian itu.
Malaysia merupakan antara negara yang menyumbang anggota kepada UNIFIL, yang beroperasi di selatan Lubnan di bawah mandat PBB. – Bernama



