am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai Board of Peace (Lembaga Keamanan) untuk Palestin buat masa ini, walaupun beberapa negara ASEAN seperti Indonesia, Kemboja dan Vietnam sudah mengambil bahagian.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, masih belum jelas sama ada Board of Peace akan bertindak segera untuk menyelesaikan punca utama konflik Israel-Palestin, termasuk pendudukan haram Israel di wilayah itu dan pelanggaran undang-undang antarabangsa berterusan oleh rejim Zionis.
“Walaupun terdapat banyak negara yang memberi komitmen yang signifikan bagi pembangunan dan pembinaan semula Gaza, Board of Peace ini dilihat tidak memfokuskan perkara yang lebih utama, iaitu penamatan pendudukan haram Israel di Palestin, serta prospek ke arah penyelesaian dua negara.
“Secara prinsipnya, Malaysia menyokong sebarang usaha global dalam mencapai keamanan berkekalan di Palestin.
“Namun, kita secara konsisten sentiasa menegaskan bahawa keamanan yang berkekalan di Palestin hanya dapat dicapai melalui satu penyelesaian yang inklusif dan komprehensif, berteraskan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar berhubung pendirian dan penglibatan Malaysia dalam inisiatif Board of Peace bersama beberapa negara ASEAN.
Mohamad berkata, Malaysia menekankan usaha pembinaan keamanan perlu dilaksanakan melalui mekanisme pelbagai hala yang inklusif, telus dan berlandaskan konsensus antarabangsa, khususnya melalui platform diiktiraf seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kerangka kerjasama serantau sedia ada.
Dalam pada itu, beliau berkata, penyertaan beberapa negara ASEAN dalam Board of Peace adalah berdasarkan pertimbangan masing-masing dan Malaysia menghormati keputusan berdaulat setiap negara anggota.
“Malaysia akan terus memberi keutamaan kepada pendekatan diplomasi aman, dialog konstruktif dan kerjasama serantau berteraskan sentraliti ASEAN
“Pada masa sama, Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua rakan serantau dalam mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama, selaras dengan dasar luar negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




