am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia komited untuk berkongsi pengalaman dengan Timor-Leste dalam aspek pembangunan kawasan luar bandar di negara terbabit.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memberi komitmen berkongsi pengalaman Malaysia membangunkan kawasan luar bandar.
“Pada 1957, ketika itu 93 peratus penduduk Malaysia tinggal di luar bandar. Kini pada 2025, hanya 24.7 peratus atau 8.1 juta penduduk tinggal di luar bandar, manakala selebihnya berada di pinggir bandar atau kawasan bandar.
“Apa yang dipanggil sebagai ‘horizontal social mobility’ (mobiliti sosial mendatar) berlaku dengan cara terancang. Pengalaman inilah yang kita mahu kongsi dengan Timor-Leste.
“Kami yakin bahawa Timor-Leste akan mengadakan pembangunan di luar bandar lebih cepat iaitu maksimum tiga dekad berbanding Malaysia yang mengambil masa kira-kira enam dekad untuk mencapai keadaan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Kerjasama dalam Bidang Pembangunan Luar Bandar dengan Timor-Leste mewakili Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini, hari ini.
Bagi pihak Timor-Leste pula, MoU itu ditandatangani Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap MOU itu dapat membawa pengabungan yang lebih dekat antara Malaysia dan Timor-Leste dalam aspek pembangunan terutama pengubahsuaian teknologi, pengetahuan dan digitalisasi.
“Pemeteraian MoU ini menjadi langkah permulaan yang kritikal bagi kedua-dua negara dalam isu pembangunan luar bandar.
“Justeru itu, MoU ini menggariskan pelbagai skop kerjasama termasuk pembangunan modal insan, transformasi digital, pertumbuhan ekonomi serta pertukaran ilmu untuk memajukan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
“MoU ini juga akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara dalam jangka masa panjang berkaitan pembangunan masyarakat luar bandar yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Menurutnya, terdapat beberapa elemen yang diberi perhatian berkaitan di Timor-Leste termasuk prasarana, pendidikan, keusahawanan, pengetahuan dan teknologi selain pertanian.
“Memang sudah ada program di peringkat pra sekolah di Timor-Leste tetapi kita berhasrat untuk memperkuatkan sistem sedia ada melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
“Kita mempunyai beberapa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) iaitu kemahiran dalam bidang vokasional serta teknikal yang boleh dikongsikan.
“Pertanian pula adalah salah satu bidang berpotensi untuk Timor-Leste. Saya yakin bidang pertanian Timor-Leste sudah berkembang yang mungkin mereka pelajari daripada negara lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




