
Eogene menempah tiket ke final Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Petronas 2025.
PENTAS akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Petronas 2025 di Arena Badminton Perak, Ahad ini, bakal menyaksikan pertembungan sesama wakil negara apabila dua bakat muda, Eogene Ewe dan Jan Jireh Lee menempah tiket ke final.
Pemain berusia 20 tahun, Eogene menjadi yang pertama mengesahkan slot final selepas menundukkan rakan senegara, Chuah Kim Sheng dalam aksi separuh akhir tiga set yang berlarutan selama 40 minit.
Juara Terbuka Slovenia itu bermula garang dengan kemenangan 15-10 pada set pertama sebelum Kim Sheng bangkit mengikat kedudukan 15-11.
Namun, Eogene tidak memberi ruang lagi apabila mudah menamatkan set penentuan 15-5 untuk mengesahkan kemenangan.
Suntikan semangat Eogene turut menyaksikan rakan sepasukan, Jan Jireh tampil penuh keyakinan selepas mengejutkan pilihan utama kejohanan, Manraj Singh dari India pada suku akhir.
Pemain berusia 21 tahun dari Kedah itu kemudian meneruskan rentak cemerlang menyingkirkan pilihan kelapan dari India, Mithun Manjunath.
Jan Jireh bermula sengit sebelum mengatasi lawan 18-16 pada set pertama, kemudian menutup perlawanan dengan bergaya menerusi kemenangan besar 15-3 pada set kedua.
Dalam pertemuan akhir nanti, rekod memihak kepada Eogene yang menang dua kali ke atas Jan Jireh sebelum ini.
Namun, pentas final kali ini bakal membuka peluang buat kedua-dua jaguh muda negara mencipta sejarah tersendiri.