Malaysia layak ke separuh akhir, Indonesia gigit jari

Malaysia layak ke separuh akhir, Indonesia gigit jari

ferzalfie@hmetro.com.my

Bangkok: Skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara bimbingan Nafuzi Zain boleh tarik nafas lega dan mungkin senyum sikit, selepas disahkan layak ke separuh akhir Sukan Sea Thailand.

Malaysia muncul pasukan kedua terbaik daripada tiga kumpulan, sekali gus mengesahkan slot empat terbaik selepas keputusan di Kumpulan C antara Indonesia dan Myanmar ‘berpihak’ kepada skuad B-23 negara.

Indonesia yang perlu menang besar untuk memintas Malaysia dalam perebutan kedua terbaik daripada tiga kumpulan hanya menewaskan Myanmar 3-1 di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai sebentar tadi.

Myanmar terlebih dahulu mengejutkan pasukan Indonesia apabila mendahului pada minit-29 melalui Min Maw Oo, sebelum Toni Firmansyah menyamakan kedudukan sebelum rehat.

Menyedari memerlukan jumlah gol yang banyak pasukan bimbingan Indra Sjafri melakukan serangan saat akhir namun hanya mampu menambah dua gol melalui Jens Raven pada minit 89 dan masa kecederaan.

Malaysia akan mengiringi Vietnam daripada Kumpulan B, iaitu pasukan yang mengalahkan mereka 0-2 pada aksi terakhir peringkat kumpulan semalam.

Di separuh akhir pada 15 Disember nanti skuad B-23 negara akan berdepan tuan rumah, Thailand, manakala Vietnam menentang juara Kumpulan C, Filipina.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top