Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia melonjak ke tangga ke-54, menunjukkan usaha Kerajaan MADANI dalam membanteras rasuah sistemik dan memperkukuh tadbir urus negara mula membuahkan hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian itu adalah hasil tindakan tegas agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Peningkatan ini termasuk kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana serta pembanterasan sindiket rasuah dan ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cerminan usaha Kerajaan MADANI perangi rasuah
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan. Tindakan tegas terhadap salah laku dalam sektor pertahanan, pembongkaran kartel serta kes rasuah berprofil tinggi menegaskan bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.
Tambah Anwar, pencapaian ini juga menjadi peringatan kepada semua pihak untuk menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.

Artikel lain: Rasuah mampu hancurkan sistem pertahanan negara, khianat amanah rakyat – PM Anwar
Berdasarkan laporan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia kini berada di kedudukan ke-54 paling kurang rasuah dalam kalangan 182 negara dan wilayah yang dinilai, meningkat daripada kedudukan ke-57 sejak 2023.

Antara faktor menyumbang kepada peningkatan skor CPI negara bagi 2025 ialah pengenalan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023 serta pindaan Akta Audit 1957 yang memperluaskan pengawasan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Sumber: FB Anwar Ibrahim




