Malaysia mahu berbaik dengan negara lain di dunia

Malaysia mahu berbaik dengan negara lain di dunia

Lahad Datu: Sebagai sebuah negara merdeka dan bebas, Malaysia berhak menentukan apa yang terbaik untuk negara dan rakyatnya termasuk dalam menjalin hubungan dengan negara-negara lain di seluruh dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau meminta tiada pihak cuba menekan Malaysia dalam menjalin hubungan diplomatik dengan negara-negara lain sambil menegaskan mahu berbaik dengan semua negara.

Anwar yang baru pulang dari lawatan kerja ke Rusia baru-baru ini, berkata pertemuannya dengan Presiden Vladimir Putin bertujuan mengukuhkan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Moscow, selain mahukan Rusia meningkatkan import minyak sawit dari Malaysia.

“Saya jumpa dengan Presiden Putin dan orang tanya macam mana, Malaysia ini tak semena-mena nak berbaik dengan Rusia, apa kata Amerika, apa kata Eropah. Kita adalah negara bebas dan merdeka, kita putuskan apa terbaik untuk negara kita.

“Kita harus berbaik (dengan semua negara), tetapi jangan ada negara hendak tekan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Segalanya Felda, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Anwar berkata, negara-negara seperti India, China, Mesir dan Belanda antara pengimport besar minyak sawit negara ini, justeru beliau berusaha memastikan negara terbabit meningkatkan import komoditi itu.

“Sekarang kita minta Rusia, sebab itulah kita pergi dan berkawan dengan mereka, China setuju tambah import kelapa (minyak) sawit.

“Saya jumpa Perdana Menteri India (Narendra Modi), baru-baru ini… dia pun kata saudara Anwar kita akan meningkatkan import (minyak sawit) ke India,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau mengunjungi negara-negara terbabit untuk meningkatkan perdagangan dan mempromosikan sektor pelancongan termasuk di Sabah, Sarawak, Langkawi dan Pulau Pinang, yang mempunyai keindahan alam semulajadi yang diiktiraf antara terindah di dunia.

“Ini juga bertujuan menarik pelancong dari Rusia, kerana setakat ini hanya sekitar 100,000 pelancong Rusia datang ke Malaysia, berbanding antara lima hingga 10 juta pelancong melawat Turkiye setiap tahun,” katanya.

Menurutnya, beliau turut dijemput Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi untuk mengunjungi negara itu dan melihat kunjungan berkenaan sebagai peluang untuk mengukuhkan hubungan baik antara kedua-dua negara, dan meminta supaya Mesir meningkatkan import minyak sawit Malaysia.

“Ini peluang saya minta dia beli kelapa (minyak) sawit lebih. Insya-Allah saya akan pergi dan akan sampaikan salam orang Lahad Datu serta Sabah kepada Presiden (El-Sisi).

“Saya akan beritahu penduduk di sini yang tanam kelapa sawit dan minta mereka beli lebih banyak,” katanya.

Anwar juga merancang untuk menceritakan kepada El-Sisi tentang keindahan Lahad Datu dan Sabah, yang juga destinasi pelancongan utama di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top