am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Malaysia meminta Bangladesh memberi penjelasan terperinci berhubung tujuan mereka membuat permohonan untuk mengekstradisi dua ahli perniagaan negara itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Bukit Aman sudah menerima pemakluman rasmi daripada Bangladesh, namun tidak dinyatakan objektif ekstradisi berkenaan.
Menurutnya, kerajaan Malaysia memerlukan penjelasan sebelum kebenaran terhadap permohonan berkenaan diberikan.
“Saya telah berbincang dengan IGP (Ketua Polis Negara) dan Peguam Negara yang kita kena jelas dulu apakah objektif (tujuan ekstradisi) ini.
“Kalau untuk tujuan siasatan, kaedahnya adalah pihak Bangladesh kena menggunakan saluran Mutual Legal Assistance (MLA).
“Sekiranya bertujuan mahu nama-nama itu dituduh di mahkamah (Bangladesh), maka mereka perlu ‘invoke’ tujuan ekstradisi,” katanya ketika diminta mengulas berhubung status permohonan ekstradisi kedua-dua individu terbabit.
Terdahulu, Saifuddin hadir pada Majlis Penyerahan Projek Depot Tahanan Imigresen dan Kuarters Jawi Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Bangladesh membuat permohonan untuk ektradisi dua ahli perniagaan dikenali sebagai Aminul Islam dan Ruhul Amin.
Ia susulan laporan Bloomberg berhubung dakwaan Aminul dan Ruhul memainkan peranan penting dalam sistem yang didakwa terbabit ‘memeras wang secara curang’ daripada mangsa.
Pada 24 Oktober lalu, Interpol Bangladesh menulis kepada rakan sejawatnya di Malaysia bahawa individu terbabit didakwa mendedahkan mangsa mereka kepada penyeksaan fizikal dan mental, namun dinafikan.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan tiga warga Malaysia yang mendakwa adalah ‘wakil kerajaan’ berhubung siasatan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan pekerja asing di Bangladesh.
“Kita tidak menerima apa-apa aduan atau laporan berhubung isu terbabit, ia cuma apa yang dilaporkan dalam media sana.
“Kita tak ada maklumat dalam hal itu dan kita cuma berminat nak uruskan (siasat) sekiranya ada laporan atau permintaan rasmi dari Bangladesh,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan portal berita Bangladesh mendakwa ketiga-tiga individu terbabit melawat negara itu pada September lalu sebagai wakil kerajaan serta memberi maklumat palsu mengenai siasatan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




