firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente percaya peluang Malaysia untuk mara ke separuh akhir Piala Asean masih terbuka biarpun tumbang 0-1 di tangan Thailand di Stadium Rajamangala, di Bangkok, malam tadi.
Jelas Vicente, kekalahan itu masih tidak menutup peluang pasukan negara untuk muncul antara dua pasukan terbaik dari Kumpulan A.
Bagaimanapun untuk meraih slot itu, skuad kebangsaan wajib menumbangkan Singapura pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Jumaat depan.
Namun sebelum itu, Thailand diharapkan mampu menjinakkan Singapura pada aksi Selasa ini bagi membolehkan penentuan terakhir ditentukan di SNBJ dalam perlawanan kedua-dua jiran tetangga itu nanti.
“Kita kena ingat bahawa ini satu kejohanan antarabangsa dan kita masih ada satu perlawanan lagi (menentang Singapura) yang perlu dihadapi.
“Saya fikir peluang kita masih lagi terbuka. Saya fikir persembahan (menentang Thailand) ini boleh dibawa ke aksi seterusnya,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.
Dalam perlawanan rancak itu, satu kesilapan pemain negara, Haziq Nadzli menyaksikan skuad negara terpaksa menggigit jari.
Ia susulan kesilapan Haziq di depan pintu gol negara yang menyaksikan sepakannya gagal menemui rakan sepasukan sebaliknya tertampan kepada penyerang tuan rumah sebelum Patrik Gustavsson mudah menolak masuk gol tunggal perlawanan di minit 57.
Mengulas mengenai aksi itu, Vicente berpuas hati dan berbangga dengan prestasi pemain yang mengikut perancangan pasukan sepanjang aksi.
“Saya fikir setiap perlawanan berbeza dan sukar untuk dibandingkan. Kita terima (keputusan) aksi terakhir namun ia bukanlah sesuatu yang kita mahukan.
“Tapi kita juga tahu kita beraksi dengan lebih baik. Kita tunjukkan kita tidak takut menentang pasukan besar, beraksi di stadium besar dan sesetengah orang menentang kita.
“Saya fikir di atas padang, kita turut tunjukkan kita boleh menyerang dan bertahan bila menentang Thailand pada malam ini (malam tadi),” katanya.
Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga Kumpulan A dengan empat mata dan hanya ketinggalan dua mata di belakang Thailand dan Singapura.
© New Straits Times Press (M) Bhd



