Malaysia Masters 2026: Cabaran beregu wanita negara tamat di pusingan pertama

Malaysia Masters 2026: Cabaran beregu wanita negara tamat di pusingan pertama
Malaysia Masters 2026: Cabaran beregu wanita negara tamat di pusingan pertama

Aksi beregu wanita negara Noraqilah Maisarah (kiri) dan Low Zi Yu (kanan) selepas tewas kepada beregu China, Bao Li Jing dan Cao Zi Han pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil hari ini. – Foto: Bernama

CABARAN Malaysia dalam acara beregu wanita terhenti lebih awal apabila dua pasangan terakhir negara Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan dan Cheng Su Hui-Tan Zhing Hui, turut tersingkir pada pusingan pertama Kejohanan Malaysia Masters 2026 di sini hari ini.

Pada aksi di Axiata Arena Bukit Jalil, gandingan Zi Yu-Noraqilah yang merupakan naib juara China Masters 2026 tewas kepada lawan dari China Bao Li Jing-Cao Zi Han 21-18, 21-12 dalam tempoh 38 minit.

Noraqilah mengakui mereka hilang fokus pada set kedua selepas ketinggalan 0-11, sekali gus menyukarkan usaha untuk bangkit dan memaksa perlawanan penentuan menentang juaa Terbuka Thailand baru-baru ini.

“Beregu China memang kuat dan sudah tentu mereka memiliki kekuatan lebih baik berbanding kami. Kami juga masih belum mencapai tahap mereka yang baru menjuarai Terbuka Thailand minggu lepas, jadi kami perlu terus memperbaiki prestasi,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, pasangan Su Hui-Zhing Hui pula tewas kepada pilihan keempat dari Jepun Arisa Igarashi-Chiharu Shida 8-21, 12-21.

Semalam, dua beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Chong Jie Yu-Vanessa Ng turut mengalami penyingkiran awal apabila tewas di pusingan pertama kejohanan Super 500 itu.

Xin Yee-Carmen yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh tewas mengejut kepada Hsieh Yi En-Teng Chun Hsun dari Taiwan 15-21, 20-22 dalam tempoh 39 minit.

Pasangan Jie Yu-Vanessa pula tumpas kepada satu lagi gandingan Taiwan Chen Yan Fei-Sun Liang Ching, 16-21, 17-21 dalam masa 33 minit.

Kem negara sebelum ini menerima tamparan hebat apabila beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah menarik diri daripada Malaysia Masters 2026.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan keputusan itu dibuat susulan kecederaan dialami Pearly.

Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak dalam kenyataan berasingan berkata masih terlalu awal untuk membenarkan Pearly kembali ke gelanggang, walaupun proses pemulihan menunjukkan perkembangan positif.

Malaysia Masters 2026 yang bermula semalam hingga 24 Mei ini, menawarkan jumlah hadiah keseluruhan AS$500,000 (RM1.98 juta). – Bernama

 

Scroll to Top