
Soon Huat (kiri) dan Shevon kalah kepada pasangan Denmark pada pusingan pertama Malaysia Masters pada Rabu. Foto Facebook BAM
JUARA bertahan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai, terpaksa melupakan Malaysia Masters 2025 lebih awal.
Pasangan suami isteri itu akur tewas secara straight set kepada pasangan Denmark, Mads Vestergaard–Christine Busch, dalam aksi pusingan pertama di Bukit Jalil sebentar tadi.
Pasangan negara yang berada di kedudukan ketiga dunia itu bermula goyah pada permainan pertama apabila tewas 18-21.
Mereka cuba bangkit pada permainan seterusnya, namun pergerakan Soon Huat dilihat agak terhad dipercayai akibat kecederaan.
Biarpun cuba melawan, namun mereka gagal menyaingi pasangan lawan yang lebih agresif dan akhirnya akur tewas 19-21 dalam masa 38 minit permainan.
“Secara peribadi, permainan kami agak tidak stabil dan tidak konsisten. Ia menjadi iktibar buat kami untuk kembali lebih kuat,” ujar Shevon.
Di sebalik kekalahan tersebut, Shevon meluahkan rasa kecewa sambil mengakui mereka bergelut untuk mencari semula corak sebenar permainan mereka.
“Saya rasa bersalah kepada peminat yang datang menyokong. Kami harap dapat bangkit semula untuk kejohanan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Soon Huat mengakui masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki kiri yang berulang.
“Kecederaan ini menyukarkan saya daripada segi lompatan,” katanya.
Mereka selepas ini akan menggalas cabaran negara dalam saingan Terbuka Singapura akhir bulan ini dan Terbuka Indonesia awal bulan depan.