amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia memantau perkembangan konflik di Asia Barat susulan insiden berbalas serangan yang membabitkan Iran menentang Israel serta sekutunya, Amerika Syarikat (AS).
Perkembangan terbaru yang berlaku di rantau bergolak itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara berdekatan seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara lain.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika dihubungi berkata, pihak kerajaan peka terhadap situasi semasa dan sentiasa bersedia mengambil langkah sewajarnya sekiranya keadaan semakin meruncing.
“Kami sedang memantau keadaan,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dari negara-negara rantau yang berisiko terjejas.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai sebarang prosedur pemindahan kecemasan (evakuasi), namun memberi jaminan bahawa keselamatan warga Malaysia adalah keutamaan utama.
Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai rakyat Malaysia yang terjejas secara langsung akibat konflik terbabit.
Namun, semua rakyat Malaysia yang berada di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi atau Kedutaan Malaysia berhampiran dan mematuhi arahan keselamatan tempatan.
Terdahulu, beberapa negara Arab menutup ruang udara mereka buat sementara waktu pada lewat Isnin sebagai langkah berjaga-jaga selepas Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pangkalan tentera AS di Qatar, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian Luar Qatar mengumumkan penutupan ruang udaranya bagi memastikan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat di tengah-tengah situasi serantau yang semakin tidak menentu.
Jabatan Hal Ehwal Penerbangan Awam Bahrain turut mengesahkan penggantungan sementara aktiviti navigasi udara di ruang udara negara itu sebagai respons terhadap perkembangan semasa.
Di Kuwait, Direktorat Jeneral Penerbangan Awam mengarahkan penutupan sementara ruang udara negaranya, menyebabkan Kuwait Airways menggantung semua penerbangan.
Kementerian Pengangkutan Iraq juga menutup ruang udara negara itu termasuk kawasan selatan.
Syarikat penerbangan Oman Air dalam satu kenyataan memaklumkan menggantung penerbangan ke dan dari Manama, Dubai, Doha dan Kuwait berikutan situasi semasa, serta memberi amaran tentang kemungkinan kelewatan penerbangan di seluruh rangkaiannya.
Sementara itu, EgyptAir mengumumkan pembatalan perkhidmatan antara Kaherah dan beberapa bandar di Teluk, dan memaklumkan operasi hanya akan disambung semula apabila situasi keselamatan mengizinkan.
Serangan Iran itu adalah tindak balas kepada serangan terdahulu oleh AS pada Ahad lalu yang menyasarkan tiga kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd