Malaysia menanti kerjasama lebih erat dengan pimpinan baharu Bangladesh – Anwar

Malaysia menanti kerjasama lebih erat dengan pimpinan baharu Bangladesh – Anwar

Kuala Lumpur: Malaysia menantikan kerjasama erat dengan kepimpinan baharu Bangladesh dalam memperkukuh serta mengangkat hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata perkara itu disampaikan menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Bangladesh yang baharu Tarique Rahman bagi menyampaikan ucapan tahniah atas mandat besar yang diperoleh beliau dalam Pilihan Raya Parlimen ke-13 baru-baru ini.

“Saya turut menzahirkan penghormatan kepada rakyat Bangladesh atas kematangan mereka mempertahankan proses demokrasi yang berlangsung secara aman dan teratur.

“Saya juga mengambil kesempatan menjemput Perdana Menteri Tarique untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada masa yang sesuai,” katanya.

Perdana Menteri turut berharap hubungan persahabatan Malaysia dan Bangladesh terus diperkukuh demi manfaat bersama kedua-dua negara.

Tarique, 60, yang merupakan Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) ialah anak kepada bekas perdana menteri Khaleda Zia dan bekas presiden Ziaur Rahman.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu Bangladesh pada Selasa di parlimen kebangsaan Jatiya Sangsad di Dhaka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top