Kuala Lumpur: Malaysia kini menempatkan badan pengawal selia khusus bagi sektor kredit pengguna selepas penguatkuasaan Akta Kredit Pengguna 2025 pada 1 Mac lalu.
Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) menerusi kenyataan mengumumkan barisan kepimpinan pertamanya, diketuai oleh Pengerusi Eksekutif, Abu Hassan Alshari Yahaya, bersama Ahli Lembaga Pengarah dari sektor awam dan profesional industri.
SKP berkata, pelantikan tiga tahun ini yang disahkan oleh Menteri Kewangan, menandakan permulaan operasi rasmi SKP untuk menyelia penyedia kredit pengguna di Malaysia dengan matlamat memastikan amalan pemberian kredit dijalankan secara telus, adil dan bertanggungjawab.
Abu Hassan, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), pernah mengetuai Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna sejak 2021 yang merangka rang undang-undang kredit pengguna secara kolaboratif.
Beliau juga berpengalaman dalam pengurusan kewangan, komunikasi strategik dan pengawasan perbankan, selain pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Barisan Ahli Lembaga Pengarah SKP turut merangkumi lapan anggota tetap dan tiga ahli silih ganti, termasuk wakil daripada Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Selain itu, individu profesional dari industri turut diambil bagi memastikan pelbagai kepakaran digabungkan dalam keputusan strategik.
Abu Hassan berkata, penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 adalah langkah penting dalam agenda reformasi kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pengguna dalam sektor kewangan.
“Bagi pertama kalinya, Malaysia memiliki undang-undang komprehensif yang memberi fokus khusus kepada pengawalseliaan kredit pengguna di luar sektor perbankan.
“Dengan barisan kepimpinan pertama yang menggabungkan pengalaman dan profesionalisme, SKP kini bersedia melaksanakan mandatnya, memastikan amalan pemberian kredit dijalankan secara telus, adil dan bertanggungjawab, seterusnya melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, SKP komited memastikan ekosistem kredit pengguna berkembang dengan sihat, tersusun dan mampan serta memperkukuh keyakinan pengguna terhadap industri kredit di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




