Malaysia minta AS pertimbang semula tindakan sekat Selat Hormuz – Mohamad Hasan

Malaysia minta AS pertimbang semula tindakan sekat Selat Hormuz – Mohamad Hasan

am@hmetro.com.my

Rembau: Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya mempertimbangkan semula tindakan mereka untuk menyekat pergerakan keluar masuk kapal di Selat Hormuz kerana tindakan berkenaan boleh menjejaskan bekalan tenaga, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan ekonomi dunia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya mempersoalkan tindakan AS itu kerana ia boleh menghalang kapal dagang dan kargo dari memasuki atau keluar dari kawasan Teluk Parsi yang boleh memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global.

Katanya, sebelum ini Iran sudah bersetuju untuk membuka selat itu dengan syarat 10 perkara yang diajukan semasa rundingan di Islamabad dipersetujui AS.

“Jadi, saya tak tahu apa tujuan pihak Amerika untuk mengepung Selat Hormuz kerana mereka yang melaungkan supaya membawa negara-negara Eropah membentuk kerjasama bagi membuka Selat Hormuz, tapi sekarang mereka nak mengepung selat itu pula.

“Secara tiba-tiba, Presiden Donald Trump mengarahkan tentera Amerika untuk mengepung Selat Hormuz, tidak membenarkan apa juga kapal-kapal melaluinya, tindakan ini akan memburukkan lagi keadaan bukan saja bekalan tenaga tetapi juga baja ke seluruh dunia.

“Oleh itu, kita meminta supaya mereka (AS) mempertimbangkan semula tindakan itu dan membuka apa jua bentuk kepungan supaya laluan dagang boleh lalu di sana,” katanya kepada media selepas Merasmikan Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, di sini, hari ini.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengarahkan sekatan laut oleh Tentera Laut AS di Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan damai dengan Iran, satu peningkatan besar ketegangan yang dijangka menguji gencatan senjata rapuh.

Dalam hantaran panjang di media sosial dan satu temubual di Fox News, Trump mengakui rundingan maraton di Islamabad berjalan ‘dengan baik’ dan ‘kebanyakan perkara sudah dipersetujui’.

Mohamad berkata, ketika ini semua kapal yang berada di Selat Hormuz tidak boleh bergerak melalui selat itu termasuk enam kapal milik Malaysia yang masih terkandas.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, pihak berkenaan sepatutnya mengadakan rundingan semula bagi mencari jalan terbaik.

“Mereka (AS) tidak membenarkan mana-mana kapal boleh keluar atau masuk ke Teluk Parsi melalui Selat Hormuz.

“Dunia tidak sepatutnya dijadikan ransum kepada peperangan yang menjadi memberi apa-apa faedah. Saya minta pihak Amerika Syarikat memikirkan semula tindakan mereka itu kerana keadaan ekonomi dunia termasuk bidang pertanian, tenaga yang menjadi lebih meruncing,” katanya.

Mohamad berkata, Malaysia juga meminta pihak Iran memikirkan supaya membenarkan kapal-kapal melalui Selat Hormuz demi kesejahteraan ummah.

“Peperangan antara AS-Israel dengan Iran itu adalah hak mereka tetapi dunia tidak boleh jadikan tebusan angkara tindakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan sudah meminta Wakil Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya berunding dengan semua negara anggota untuk menilai semula kedudukan pasukan penggaman (MALBATT) di Lubnan.

Menurutnya, berikutan keadaan keselamatan di Lubnan yang serius ketika ini adalah wajar pasukan pengaman memendekkan tempoh tugasan mereka di sana.

“Tugasan anggota MALBATT di Lubnan sepatutnya tamat pada akhir tahun ini namun dengan situasi tegang di negara itu, adalah wajar khidmat anggota pasukan pengaman terbabit dipendekkan kerana tiada lagi keperluan untuk menjaga keamanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top