Malaysia minta Bangladesh pertimbang kurang kos pengambilan pekerja, komited lindungi kebajikan

Malaysia minta Bangladesh pertimbang kurang kos pengambilan pekerja, komited lindungi kebajikan

Kuala Lumpur: Kerajaan Bangladesh diminta mempertimbangkan langkah pengurangan kos bagi pengambilan pekerja dari negara itu ke Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata langkah itu adalah demi kesejahteraan pekerja.

“Saya tegaskan keperluan untuk mengurangkan kos pengambilan pekerja asing serta meminta Kerajaan Bangladesh mempertimbang langkah mengurangkan kos ini demi kesejahteraan pekerja,” katanya.

Perkara itu dinyatakan Anwar ketika beliau menerima kunjungan hormat Menteri Buruh dan Pekerjaan Bangladesh Ariful Haque Choudhury bersama-sama Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh Dr Mahdi Amin di Putrajaya hari ini bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu berkepentingan kedua-dua negara.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata Malaysia juga komited untuk terus melindungi kebajikan ratusan ribu pekerja Bangladesh di negara ini khususnya dalam sektor pembinaan dan pembuatan.

Pada pertemuan itu, Anwar turut mengulangi ucapan tahniah kepada Tarique Rahman yang dilantik sebagai Perdana Menteri Bangladesh pada 17 Feb lepas.

Tarique, 60, yang juga Pengerusi Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), ialah anak bekas Perdana Menteri Khaleda Zia dan bekas Presiden Ziaur Rahman.

“(Saya) sekali lagi mengulangi jemputan agar beliau berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” katanya.

Perdana Menteri juga berharap agar persahabatan Malaysia-Bangladesh akan terus diperkukuh berteraskan saling percaya dan manfaat bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top