Malaysia mohon PBB semak terma penugasan pasukan pengaman di Lubnan – Mohamad Hasan

Malaysia mohon PBB semak terma penugasan pasukan pengaman di Lubnan – Mohamad Hasan

am@hmetro.com.my

Rembau: Malaysia akan memohon Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melihat semula terma penugasan pasukan pengaman termasuk Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di Lubnan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata keadaan semasa di Lubnan tidak lagi stabil ketika ini membuatkan penugasan lebih 511 orang anggota dan pegawai MALBATT berdepan risiko keselamatan.

“Keadaan di Lubnan sekarang ini tidak lagi berstatus sebagai pasukan pengaman kerana telah berlaku peperangan di sana… perbincangan telah dibuat dengan Kementerian Pertahanan mengenai perkara ini kerana tugas pengaman itu bukan sahaja membabitkan Malaysia tetapi dari negara-negara lain.

“Saya telah arahkan wakil tetap Malaysia di PBB untuk berurusan dengan Setiausaha Agung PBB dan berpakat dengan negara-negara lain yang menganggotai pasukan pengaman ini untuk berunding dan menyediakan memorandum supaya misi pengaman tidak perlu tunggu sehingga tamat tempoh susulan keadaan getir di negara berkenaan.

“Kita minta Majlis Keselamatan PBB menyemak semula terma dan tarikh matangnya kerana kita tidak mahu anggota pengaman Malaysia dan negara lain terdedah kecederaan atau terbunuh,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Mesyuarat Agung Serentak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Orang Ramai Rantau, di sini.

Pada majlis itu beliau menyampaikan bantuan berjumlah RM280,000 untuk diagihkan kepada sekolah menengah dan rendah dalam DUN berkenaan, selain sumbangan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata misi MALBATT di Lubnan ditetapkan berakhir hujung tahun ini, namun Malaysia tidak boleh membawa pulang anggota terbabit secara unilateral kerana ia terletak di bawah PBB.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan isu berkenaan dalam mesyuarat Kabinet dan turut meminta kerjasama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khalid Nordin supaya anggota pengaman Malaysia tidak lagi membuat rondaan dalam kawasan operasi, sebaliknya kekal dalam pangkalan demi keselamatan.

“Kita tidak mahu anggota keselamatan negara ini terdedah atau menjadi sasaran oleh mereka yang tidak mengikut undang-undang atau mereka yang tidak menghiraukan nasib yang akan menimpa orang lain berikutan serangan yang berlaku,” katanya.

Mohamad bagaimanapun menjelaskan ketika ini anggota pengaman Malaysia berada dalam keadaan selamat dan diarahkan tidak keluar dari kawasan penempatan mereka.

“Kita harap PBB dapat dikeluarkan anggota pengaman negara kita dan anggota dari negara-negara lain dari kawasan krisis berkenaan untuk keselamatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top