Malaysia mula hantar pelarian Myanmar hari ini

Malaysia mula hantar pelarian Myanmar hari ini

LUMUT – Malaysia dipercayai mula menghantar kira-kira 1,500 pelarian Myanmar pada Selasa menerusi fasa pertama program penghantaran pulang yang mencetuskan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia.

Memetik koresponden media antarabangsa AFP, mereka adalah kumpulan pertama dari 5,000 warga Myanmar yang menurut kerajaan Malaysia bersetuju untuk dihantar pulang secara ‘sukarela’ daripada pusat tahanan.

Berdasarkan tinjauan AFP, puluhan bas dilihat tiba dengan diiringi polis di Stadium Majlis Perbandaran Manjung berhampiran Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak.

Bagaimanapun, pemberita tidak dibenarkan memasuki kawasan berkenaan.

Warga Myanmar itu dijangka melalui proses dokumentasi sebelum dibawa ke pangkalan tentera laut dan seterusnya dihantar ke negara tersebut menggunakan kapal.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan maklumat tentang jumlah warga Myanmar etnik Rohingya memandangkan pihak berkuasa belum mendedahkan butirannya.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), etnik minoriti Islam itu membentuk dua pertiga daripada kira-kira 190,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar di Malaysia.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian dalam satu usaha penghantaran pulang yang jarang dilakukan, sekali gus mencetuskan kebimbangan kumpulan hak asasi manusia.

Rancangan tersebut diumumkan selepas pihak berkuasa menahan lebih 100 pelarian yang berhimpun di luar pejabat agensi pelarian PBB di Kuala Lumpur.

Etnik Rohingya itu dilaporkan datang ke ibu kota untuk mendapatkan bantuan selepas diusir daripada sebuah penempatan tidak rasmi di Pulau Pinang.

Mereka kemudiannya dibebaskan selepas pegawai mengesahkan masing-masing memiliki dokumen sah.

Pada awal September, Myanmar memberi jaminan rakyatnya yang berada di luar negara akan dibawa pulang secara ‘selamat dan bermaruah’, susulan kritikan PBB serta kumpulan hak asasi manusia.

Anwar baru-baru ini memberitahu beliau akan menjemput Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing untuk mengadakan lawatan rasmi bagi membantu mempercepatkan proses penghantaran pulang itu.

Scroll to Top