Malaysia peneraju kamus braille Bahasa Inggeris-Melayu

Malaysia peneraju kamus braille Bahasa Inggeris-Melayu

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia menjadi peneraju di dalam penghasilan kamus braille Bahasa Inggeris-Melayu yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.

Kamus Braille Inggeris-Melayu yang diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mempunyai 10 jilid meliputi lebih 20,000 patah perkataan yang sesuai untuk digunakan oleh pelajar sekolah dan IPT terutama untuk golongan yang mempunyai masalah penglihatan.

Ahli Pemegang Amanah Orang Buta Malaysia merangkap Presiden Majlis Pendidikan Khas Antarabangsa Rantau Asia Timur, Silatul Rahim Dahman berkata, ketika ini pihak UKM sudah membuat kira-kira 1,000 salinan yang mana setiap salinan mempunyai 10 jilid.

Jelasnya, selain daripada dapat digunakan oleh murid sekolah dan pelajar IPT tempatan, kamus berkenaan juga sudah mendapat permintaan daripada negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Projek bagi menyiapkan kamus ini bermula sejak 2021 dan pada 2024 baharu sahaja disiapkan. Jadi, ia akan diedarkan secara percuma kepada sekolah pendidikan khas bagi digunakan oleh murid masalah pendidikan di seluruh Malaysia.

“Selain itu, kami juga merancang untuk mengedarkan kamus ini kepada IPT kerana ia boleh digunakan sebagai medium pembelajaran pelajar-pelajar di universiti terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah penglihatan dan juga untuk pelajar yang ingin mempelajari braille,” katanya pada majlis pelancaran kamus berkenaan di sini, hari ini.

Projek penerbitan kamus itu mendapat sokongan daripada pelbagai badan korporat dan badan bukan kerajaan antaranya Yayasan Petronas, Muslim Care Malaysia Society, Yayasan Orang Buta Malaysia dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd.

Ketua Projek itu merangkap Pensyarah Kanan (Pendidikan Khas-Masalah Penglihatan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti)

Fakulti Pendidikan UKM, Dr. Mohd Norazmi

Nordin berkata, pihaknya menjangkakan kamus berkenaan dapat dimanfaatkan lebih 6,000 murid sekolah dan sekitar 1,000 pelajar di IPT yang mempunyai masalah penglihatan.

“Kamus braille ini turut mendapat permintaan dari negara asing iaitu Timor Leste, Sri Lanka, Madagascar dan Afrika Selatan.

“Kamus ini bukan sekadar satu alat terjemahan, malah menjadi pemangkin kepada penguasaan dwibahasa (Inggeris-Melayu) dalam kalangan pengguna braille, seterusnya menyumbang kepada daya saing global,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Jelasnya, bagi menghasilkan kamus itu terdapat 10 panel terdiri daripada guru-guru pendidikan khas di sekolah, pegawai Kementerian Pengajian Pendidikan Malaysia dan Pensyarah Pendidikan khas (masalah penglihatan).

“Kesemua panel ini terdiri daripada lima panel orang kurang upaya (OKU) buta, satu panel OKU fizikal dan empat panel tipikal (normal). Pembabitan panel-panel ini bagi memastikan tulisan mengikut kod braille yang betul dan terkini. Selain itu, ia bagi memastikan kandungan dan entri perkataan yang dipilih bersesuaian untuk dimasukkan ke dalam kamus berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top