PETALING JAYA: Malaysia memperkukuh kedudukan sebagai hab ekonomi utama di Asia termasuk dalam sektor penerbangan apabila beberapa perjanjian dan komitmen pelaburan strategik berjaya dimeterai sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis.
Menurut Anwar, beliau menyaksikan pemeteraian perjanjian pembelian pesawat A321XLR antara syarikat penerbangan AirAsia dan pengeluar pesawat terkemuka dunia, Airbus.
“Perolehan pesawat ini akan memperkukuh keupayaan operasi AirAsia bagi laluan jarak dekat dan sederhana.
“Langkah ini bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan malah menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab penerbangan utama di rantau Asia,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Selain itu, Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara 3P Capital Adviser dan Ardian, sebuah syarikat pelaburan persendirian terkemuka dari Perancis dalam usaha meneroka peluang pelaburan dalam pasaran persendirian.
“Inisiatif sektor swasta ini penting kerana mampu membuka akses lebih luas kepada rakyat Malaysia terhadap pelaburan alternatif yang mampu memberikan pulangan mampan dan menggalakkan pemerkasaan ekonomi,” ujarnya.
Dalam pertemuan bersama Imerys, syarikat Perancis yang telah lebih 25 tahun bertapak di Malaysia dalam bidang pemprosesan mineral industri, Anwar turut dimaklumkan mengenai komitmen syarikat itu untuk memperluaskan lagi operasi mereka.
Katanya, komitmen itu penting dalam menyokong pembangunan sektor pembuatan bernilai tinggi dan mesra alam di negara ini, delaras dengan matlamat menuju ekonomi hijau dan mampan.
“Saya juga bertemu dengan Arkema, peneraju global dalam bidang kimia khas yang sedang menilai potensi pelaburan baharu di Malaysia.
“Jika pelaburan ini direalisasikan, ia berupaya mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, mempercepat pemindahan teknologi dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab utama bioekonomi di rantau Asia,” katanya.-UTUSAN.