khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia perlu mencari bekalan minyak daripada sumber lain selepas rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Pakistan gagal.
Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata, negara ini perlu meningkatkan lagi bekalan minyak walaupun langkah bagi mengurangkan kuota bahan bakar dibuat oleh kerajaan.
“Kita perlu mencari bekalan minyak dari sumber lain, mungkin Rusia. Tetapi yang paling penting adalah peningkatan bekalan minyak yang tidak terputus perlu dilaksanakan.
“(Selain itu) langkah mengurangkan penggunaan bahan bakar perlu diberitahu kepada rakyat supaya kita mengambil langkah berjimat dalam hal ini kerana bulan Mei tidak lama lagi. Jadi kita perlu bersedia daripada sekarang,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memberi jaminan bahawa bekalan minyak mentah dapat bertahan sehingga Mei depan.
Anwar juga turut mengumumkan kerajaan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.
Mengulas lanjut, Azmi berkata, kegagalan rundingan damai membabitkan AS dan Iran menjadikan Selat Hormuz kini lebih bahaya kerana kehadiran kapal perang AS untuk mengenakan sekatan ke atas semua pelabuhan Iran.
“Ini menyusahkan lagi, bukan memperbaiki keadaan. Dalam hal ini, ia bukan membabitkan Malaysia sahaja tetapi banyak negara lain yang bergantung kepada bekalan minyak serta gas petroleum cecair (LPG) dan baja daripada keluar masuk melalui Selat Hormuz,” katanya.
Selain itu katanya, tindakan AS untuk mengawal Selat Hormuz juga berkemungkinan menyasarkan untuk menyukarkan China daripada mendapat bekalan minyak.
Beliau berkata, ini kerana 80 peratus bekalan minyak China melalui Selat Hormuz dan pada ketika ini, negara itu mendapat laluan bebas daripada Iran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




