JURULATIH pelapis lompat tinggi negara, Lee Hup Wei memerlukan masa lima tahun bagi meletakkan Malaysia kembali sebagai kuasa besar acara lompat tinggi lelaki di pentas Sukan SEA.
Bekas atlet kebangsaan itu berkata, beliau ketika ini giat mencungkil bakat baharu termasuk bekerjasama dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dalam usaha menaikkan semula reputasi Malaysia dalam lompat tinggi pada temasya tersebut.
“Kita perlu ambil masa, susah mahu jangka namun diharapkan dapat lakukan dalam masa lima tahun. saya juga akan cuba yang terbaik (melahirkan atlet berkualiti) memandangkan Malaysia akan jadi tuan rumah pada Sukan SEA 2027 nanti.
“Selain melatih kira-kira 10 atlet dari SSBJ, saya juga akan melakukan pencarian bakat pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos ini serta kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.



