Malaysia perluas terjemahan al-Quran ke 30 bahasa tambahan, dibawa ke seluruh dunia – PM Anwar

Malaysia perluas terjemahan al-Quran ke 30 bahasa tambahan, dibawa ke seluruh dunia – PM Anwar

Kerajaan bersetuju menambah dana bagi menterjemah al-Quran ke dalam 30 bahasa tambahan, sekali gus memperluaskan capaian mesej Islam ke seluruh dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar al-Quran terbesar di dunia, sebaris dengan Arab Saudi dan Mesir, malah peneraju utama di rantau ini.

“Setiap negara yang saya kunjungi, sama ada Peru, Brazil, Kemboja, Laos, China atau Rusia, saya tidak pernah lupa membawa al-Quran terjemahan untuk diserahkan kepada kerajaan, pusat Islam atau masjid setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan terjemahan al-Quran ke-30 dalam bahasa Rusia di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14 di sini, yang turut disertai pelancaran Mushaf Al-Ummah al-Jami’ dan pelancaran kontena penghantaran al-Quran ke luar negara.

Malaysia perluas terjemahan al-Quran

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut memaklumkan Mushaf MADANI yang bakal dilancarkan pada Ramadan tahun hadapan diilhamkan daripada pengalamannya di Jakarta, di mana beliau melihat naskhah al-Quran dihiasi motif seni tempatan dari pelbagai wilayah.

Tambah beliau, pendekatan itu bukan sahaja mencerminkan mesej sejagat al-Quran, malah menghargai warisan budaya yang tidak bercanggah dengan roh kitab suci berkenaan.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Mushaf Al-Ummah al-Jami’, bagi menerbitkan 500,000 naskhah mushaf yang menggabungkan pelbagai warisan dalam satu naskhah.

Artikel lain: “Saya hanyalah pencinta al-Quran..” – Sharifah Khasif terharu diiktiraf Tokoh Maal Hijrah

Selain itu, dua MoU turut dimeterai bagi memperluaskan Projek 1 Juta al-Quran ke Afrika Selatan dan Australia, melalui kempen wakaf al-Quran bertaraf antarabangsa bersama institusi tempatan di kedua-dua negara berkenaan.

Majlis bersejarah itu juga menyaksikan peluncuran kontena khas berisi 20,000 naskhah al-Quran terjemahan Bahasa Sepanyol Latin dan Inggeris untuk dihantar ke Jannah Institute, California, Amerika Syarikat, sebagai sebahagian usaha memerangi Islamofobia melalui pendekatan berhikmah.

Sumber: Berita RTM

Scroll to Top