Bangkok: Skuad ekuestrian polo negara meraih pingat gangsa pada Sukan Sea 2025 selepas menewaskan Filipina 7-3.5 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa kategori 2-4 Goals di VS Sports Club & Siam Polo Park, Samut Prakan hari ini.
Skuad negara dibarisi Putera Sultan Pahang Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Muhammad Shahir Akmal Mohd Shah, Abdul Rashid Hasnan, Muhammad Edham Haji Shaharuddin, Azfar Mustapha, Mohd Zulhelmi Nadzar dan Amran Selamat.
Sementara itu, Thailand mengesahkan pingat emas selepas menundukkan Brunei 7.5-0 pada final.
Harapan Malaysia untuk memburu emas sebelum ini musnah selepas tewas kepada Brunei pada aksi separuh akhir, Isnin lalu.
Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam ekuestrian polo adalah pada Sukan Sea 2019 di Filipina apabila mereka menewaskan negara tuan rumah pada final.
Kem negara kini akan menumpukan perhatian dalam pertandingan 4-6 Goals yang dijadualkan bermula Sabtu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




