Malaysia sasar hab kapal layar utama ASEAN

Malaysia sasar hab kapal layar utama ASEAN

am@hmetro.com.my

Langkawi: Malaysia menyasarkan muncul sebagai destinasi kapal layar utama ASEAN, sekali gus diyakini mampu melonjakkan ekonomi maritim negara menerusi pertumbuhan pelancongan nautika bernilai tinggi.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan berkata, ini kerana negara memiliki garis pantai luas, lokasi strategik dan tarikan ekomarin yang mampu mengundang persinggahan kapal layar.

“Pembangunan marina seperti Telaga Harbour Marina dan Rebak Marina di Langkawi serta beberapa lagi membuktikan keupayaan negara menyokong aktiviti antarabangsa, namun ekosistem bersepadu itu masih perlu diperkukuh.

“Kementerian sentiasa komited mempertingkat infrastruktur, memperkemas kawal selia kemasukan kapal layar serta memastikan kemampanan bagi menjadikan Malaysia hab pelayaran ASEAN dan menarik pelancong nautika bernilai tinggi,” katanya selepas merasmikan Pameran Bot Antarabangsa Malaysia (MYBOS) 2026 di The St Regis di sini, lewat petang semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd Salleh Saidin serta Pengerusi MYBOS 2026, Datuk Mohd Radzi Manan.

Sementara itu, Mohd Radzi berkata MYBOS yang memasuki edisi kedua tahun ini menjadi platform strategik menyatukan kerajaan, industri dan pelabur dalam memacu pertumbuhan pelancongan nautika bernilai tinggi negara.

Katanya, sepanjang empat hari pameran berakhir Ahad ini, MYBOS 2026 menghimpunkan jenama global, mempamerkan kapal layar mewah, bot berprestasi tinggi serta teknologi marin, sekali gus membuka peluang pelaburan.

“Pameran maritim ini diyakini menjadi nilai tambah kepada potensi Langkawi sebagai hab pelayaran serantau dengan keindahan semula jadi, lokasi strategik dan infrastruktur marina, selain merangsang peluang pekerjaan.

“Dalam hal ini, kemampuan Langkawi telah terbukti apabila Pendaftaran Kapal Layar Antarabangsa Langkawi (LIYR) yang ditubuhkan pada 2003 kini merekodkan 3,250 kapal layar berdaftar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top