Malaysia sedia buka sempadan negara

Malaysia sedia buka sempadan negara

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) optimis Malaysia dapat membuka pintu sempadan negara dalam masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pembukaan sempadan itu akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada negara jiran dan negara Asia.

Beliau berkata, beberapa langkah seperti Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi, yang dilaksanakan sebelum ini berjalan lancar dan menjadi penanda aras untuk pembukaan sempadan negara.

“Gelembung pelancongan Pulau Langkawi tahun lalu mencatat lebih 700,000 pelancong, domestik dan antarabangsa.

“Dari situ, kita sudah mempunyai keyakinan boleh buka sempadan antarabangsa, namun ia perlu diperincikan lagi sebab ada negara juga belum benarkan orang mereka keluar.

“Kita perlu teliti keperluan untuk membuka sempadan secara keseluruhan bukan lagi gelembung. Kita sudah membuat persiapan ke arah itu,” katanya selepas merasmikan Bicara Negarawan: Pemikiran dan Kepimpinan Tun Hussein Onn di Memorial Tun Hussein Onn, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib seawal 1 Mac depan.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata syor oleh MPN itu belum boleh dilaksanakan kerana ia memerlukan penelitian lanjut, selain ia perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pembukaan sempadan itu boleh dilaksanakan bagi memulihkan kembali sektor pelancongan negara dan seluruh dunia, yang terjejas teruk ekoran pelaksanaan sekatan bagi mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata, MOTAC sudah merangka strategi jangka pendek dan panjang menerusi perbincangan berterusan dengan negara lain, di samping sentiasa meneliti cadangan dan situasi semasa, termasuk ketetapan Mesyuarat Kuartet COVID-19 sebelum membuka sepenuhnya sempadan negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top