mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia sedia memperluas dan mengukuhkan kerjasama dengan negara Blok Asean dan Korea Selatan dalam bidang penjagaan warga emas.
Perkara itu dizahirkan semasa lawatan khas delegasi Asean+Republic of Korea (ROK) ke Woodrose Senior Residences, di sini, baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif Woodrose Healthcare Sdn Bhd Gary Lim berkata, lawatan sempena Persidangan Asean+ROK bertujuan memberikan gambaran menyeluruh dan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang penjagaan warga emas.
Menurutnya, lawatan ini juga menjadi bukti kepada kepentingan kerjasama serantau dalam memperkasa kualiti hidup warga emas serta memperkukuh amalan terbaik dalam bidang penjagaan warga emas.
“Woodrose Senior Residences, sebuah pusat jagaan warga emas patuh syariah, berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan menawarkan penjagaan komprehensif serta perkhidmatan sokongan dalam kehidupan harian.
“Fokus utama Woodrose Senior Residences untuk memastikan kesejahteraan, maruah dan kualiti hidup penghuni terpelihara melalui pelbagai sokongan dari aspek perubatan, pemulihan dan sosial,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, delegasi diketuai Ketua Pengarah Biro Dasar Kesihatan, Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Korea Selatan, Kwak Sunheon disambut Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr R Satish.
Delegasi dibawa melawat sekitar fasiliti bagi memberi peluang mereka melihat sendiri suasana mesra penghuni serta kemudahan disediakan.
Mereka turut diberi penerangan mengenai aspek perubatan dan pemulihan serta penjelasan tentang sokongan kesihatan ditawarkan serta program rawatan pemulihan dan penjagaan pencegahan yang dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd