am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dibuka secara rasmi pagi ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) menandakan bermulanya perhimpunan tertinggi pemimpin serantau dan dunia hari ini.
Upacara pembukaan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dalam ucapannya mengalu-alukan kehadiran semua pemimpin ASEAN, tetamu pengerusi serta sahabat dari seluruh dunia ke Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
“Apabila Malaysia mengambil alih Pengerusian ASEAN, kami sedar akan besarnya tanggungjawab yang dipikul.
“Kepimpinan bukanlah sesuatu yang rutin, ia adalah soal pilihan untuk menentukan keutamaan, memperbaharui semangat ASEAN, dan merangka haluan yang sepadan dengan harapan rakyat kita,” katanya sempena Majlis Pembukaan Rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan hari ini.
Menurutnya, dunia kini berada dalam keadaan tidak menentu, tertib lama tidak lagi pasti, sementara tertib baharu belum terbentuk sepenuhnya.
“Di pelbagai rantau, kita menyaksikan peningkatan persaingan dan ketidaktentuan yang semakin memuncak. Arus silang ini bukan sahaja menguji ekonomi kita, tetapi juga tekad bersama untuk yakin bahawa kefahaman dan dialog masih mampu menang dalam zaman yang berpecah-belah.
“Namun dalam segala cabaran ini, ASEAN tetap teguh, kekuatan kita bukan terletak pada keseragaman, tetapi pada keyakinan bahawa hormat dan kewarasan masih menjadi tali pengikat bersama,” katanya.
Justeru, beliau menyeru semua negara anggota ASEAN memperkukuh perpaduan serta memperkasa Peranan Pusat ASEAN bagi memastikan pertumbuhan yang berdaya tahan dan adil, selain melindungi kesejahteraan generasi akan datang.
“Kemasukan bersejarah Timor-Leste ke dalam ASEAN hari ini memberi makna baharu kepada wawasan itu.
“Kehadirannya melengkapkan keluarga ASEAN mengukuhkan semangat nasib bersama dan ikatan serantau yang mendalam dan dalam komuniti ini, pembangunan dan autonomi strategik Timor-Leste akan mendapat sokongan kukuh dan berkekalan,” katanya.
Beliau berkata, sebagai Pengerusi tahun ini, Malaysia berusaha menyelaras semula keutamaan ASEAN agar pertubuhan ini kekal berdaya tahan, relevan dan responsif terhadap zaman.
“Bersama negara anggota lain, kita sudah berusaha mewujudkan keadaan yang kondusif untuk keamanan di Myanmar. Kita sedar hal ini memerlukan kesabaran dan ketekunan serta kejujuran dalam menilai realiti di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, berpandukan Konsensus Lima Perkara, ASEAN sudah menggunakan semua saluran dan rakan kerjasama yang ada untuk mengurangkan keganasan dan meringankan krisis kemanusiaan.
“Namun keamanan yang berkekalan tidak boleh dipaksakan. Ia mesti lahir daripada rakyat Myanmar sendiri, hanya dengan cara itu perdamaian dapat bertahan.
“Keamanan dan kemakmuran relatif yang dinikmati ASEAN hampir enam dekad ini bukan sesuatu yang kekal dengan sendirinya.
“Ia perlu diperbaharui melalui kerjasama dan diperkukuh dengan matlamat bersama, itulah sebabnya ASEAN memperdalam hubungan ekonomi, meluaskan perdagangan, dan meningkatkan daya saing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



