Malaysia-Singapura optimis VTL, RTS tingkat hubungan kerjasama – Utusan Digital

PUTRAJAYA: Kejayaan pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) secara rasmi hari ini amat bermakna bukan sahaja memulihkan kembali hubungan pergerakan rakyat dua negara.

Malahan menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan di sini, ia dilancarkan kurang seminggu pemeteraian rasmi Perjanjian Pemberian Kuasa Projek Sistem Transit Pantas (RTS) Link.

Ia ditandatangani pada 24 November lepas antara kementerian tersebut dengan Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura bagi meneruskan semula perjanjian konsesi tren berkenaan.

“Perkembangan ini disambut baik ketika lawatan kerja menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong ke Singapura atas jemputan dari rakan sejawatannya, S. Iswaran,” kata kenyataan kementerian itu.

RTS Link merupakan perkhidmatan rel rentas sempadan antara stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan stesen Woodlands Utara di republik itu yang bakal beroperasi menjelang akhir 2026.

Projek itu dijangka mengatasi kesesakan Tambak Johor yang juga laluan sempadan darat tersibuk di dunia dengan lebih 450,000 individu sehari sebelum terpaksa ditutup akibat isu Covid-19.

Tren yang bakal digunakan nanti itu berkeupayaan membawa sehingga 10,000 penumpang setiap jam dan turut memendekkan lagi tempoh masa perjalanan sehala kepada hanya lima minit.

Menyentuh isu VTL, kementerian tersebut berkata, ia amat signifikan dalam memastikan proses pergerakan rakyat dua negara berlaku secara selamat dan akan dibuat dalam berperingkat.

“Sebanyak 32 trip bas dua hala dijadualkan antara dua negara itu buat permulaan selain sektor udara peringkat awal cuma enam penerbangan antara Kuala Lumpur dan Changi,” katanya.

Jumlah kekerapan termasuk operasi penerbangan harian akan ditambah berfasa sebelum kembali kepada normal seperti dahulu yang juga laluan udara antarabangsa paling sibuk di dunia.

Kementerian Pengangkutan berharap pelaksanaan VTL akan turut menjana kembali aspek pemulihan ekonomi di samping memperkukuhkan bidang kerjasama pengangkutan awam.

Singapura dalam pada itu turut bergembira dan bersedia memberi segala sokongan bagi memperkasakan hubungan pengangkutan antara kedua-dua negara jiran serantau tersebut.- UTUSAN ONLINE