Malaysia sokong pelaksanaan Agenda Bandar Baharu

Malaysia sokong pelaksanaan Agenda Bandar Baharu

IPOH – Malaysia menegaskan komitmen dalam memacu pembangunan bandar mampan apabila menyokong pelaksanaan Agenda Bandar Baharu selaras peranannya sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu memastikan pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan berdaya tahan, sejajar dengan kerangka antarabangsa.

“Di Malaysia, prinsip ini selari dengan gagasan Malaysia Madani.

“Pembangunan mesti berpaksikan nilai dan kemanusiaan, membina bandar yang memenuhi keperluan rakyat, kejiranan yang sejahtera dan ruang awam yang memberi manfaat kepada kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pembinaan dan Perumahan Menteri ASEAN-China (ACMROCH) 2026 di sini pada Sabtu.

Kor Ming (kanan) bersama Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Luar Bandar China, Ni Hong ketika meninjau ruang pameran sempena Persidangan Pembinaan dan Perumahan Menteri ASEAN - China (ACMROCH) 2026 pada Sabtu

Kor Ming (kanan) bersama Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Luar Bandar China, Ni Hong ketika meninjau ruang pameran sempena Persidangan Pembinaan dan Perumahan Menteri ASEAN – China (ACMROCH) 2026 pada Sabtu

Persidangan bertemakan ‘Bandar Mampan, Perumahan Berkualiti, Komuniti Bersatu Padu’ yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan 300 delegasi kalangan menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan kerajaan dari 11 negara ASEAN.

Antara yang hadir, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar dan Luar Bandar China, Ni Hong; Menteri Pembangunan Dalam Negara Singapura, Chee Hong Tat dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Thailand, Jeset Thaiseth.

Kor Ming berkata, platform ACMROCH 2026 menjadi medan penting untuk menterjemahkan visi kepada tindakan nyata yang memberi manfaat kepada komuniti.

Katanya, penganjurannya bukan sekadar perbincangan berkaitan pembinaan, sebaliknya menjadi deklarasi serantau untuk membina kemakmuran tanpa meminggirkan rakyat.

“Melalui kerjasama ASEAN, China dan rakan antarabangsa, kita dapat memastikan pembangunan bandar di rantau ini bergerak seiring dengan misi UN-Habitat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dunia kini berdepan perubahan besar apabila lebih 57 peratus populasi global menetap di kawasan bandar, manakala Asia merekodkan kadar urbanisasi melebihi 54 peratus.

Jelasnya, Malaysia sendiri mencatatkan kadar urbanisasi tinggi iaitu 78 peratus, manakala China 67 peratus, sekali gus memberi tekanan kepada infrastruktur, perumahan dan tenaga.

“Keadaan ini menuntut pengurusan bandar yang lebih mampan, mampu milik dan tahan perubahan iklim kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat,” ujarnya.

 

Scroll to Top