Malaysia teroka tenaga nuklear untuk perkukuh keselamatan tenaga – Fadillah

Malaysia teroka tenaga nuklear untuk perkukuh keselamatan tenaga – Fadillah

Malaysia kini sedang meneroka potensi tenaga nuklear sebagai langkah strategik bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga elektrik jangka panjang, selari dengan aspirasi negara untuk beralih kepada tenaga bersih.

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, langkah ini digariskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 31 Julai 2025.

Beliau menekankan bahawa inisiatif ini bertujuan menangani cabaran ketidaktentuan bekalan dan harga bahan api akibat ketegangan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat serta gangguan laluan perdagangan tenaga strategik seperti Teluk Hormuz.

“Tenaga nuklear berpotensi menyediakan penjanaan beban asas (base-load) yang stabil dan rendah karbon, sekaligus mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api fosil. Ini penting untuk memastikan keselamatan tenaga negara pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto arkib: Bernama

Fadillah berkata, beberapa negara ASEAN juga sedang menilai semula tenaga nuklear dalam strategi kepelbagaian sumber tenaga selain Filipina mensasarkan pembangunan kapasiti nuklear sehingga 4,800 Megawatt menjelang 2050, manakala Vietnam telah memasukkan semula tenaga nuklear dalam pelan pembangunan tenaga nasional.

“Indonesia juga sedang meneroka potensi penggunaan reaktor modular kecil (SMR) termasuk reaktor terapung sebagai penyelesaian tenaga bersih yang fleksibel untuk negara kepulauan, dengan sasaran menjelang 2030.
“MyPOWER Corporation selaku agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah dilantik sebagai Nuclear Energy Programme Implementing Organisation (NEPIO) untuk meneraju dan menyelaras usaha persediaan pembangunan program tenaga nuklear negara berpandukan pendekatan berfasa (Milestones Approach) oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA),” ujarnya.

Foto arkib: AFP

Tambahnya, penilaian semasa merangkumi pembangunan dasar, pengukuhan rangka kerja perundangan dan kawal selia, penyertaan industri tempatan, penglibatan pihak berkepentingan, serta pembangunan modal insan.

“Kerajaan menekankan bahawa sebarang pertimbangan pembangunan tenaga nuklear akan dijalankan secara teliti dan berasaskan analisis teknikal komprehensif, selaras dengan keutamaan pembangunan negara dan obligasi antarabangsa Malaysia.
“Pendekatan ini juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan perancangan jangka panjang berasaskan ilmu, kemampanan sumber, dan kesejahteraan rakyat serta generasi akan datang,” tambah Fadillah.

Dengan pendekatan berfasa (Milestones Approach) yang digariskan oleh IAEA, Malaysia berusaha memastikan bahawa pembangunan tenaga nuklear bukan sahaja menyokong keselamatan tenaga, tetapi juga mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa dan memberi manfaat kepada ekonomi serta masyarakat tempatan.

Scroll to Top