Malaysia tetap hantar balik pelarian

Malaysia tetap hantar balik pelarian

yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal dengan pendirian untuk menghantar pulang pelarian Myanmar yang layak atau mana-mana warga asing disabitkan sebarang kesalahan ke negara asal selepas mereka selesai menjalani hukuman.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan memuktamadkan untuk tidak menghalang penghantaran pulang mana-mana individu bagi mengurangkan implikasi kos.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersedia menghantar pulang mana-mana pelarian Myanmar di Malaysia yang dikenal pasti mengemukakan permohonan untuk berbuat demikian.

“Kalau dia (pelarian Myanmar) sendiri tulis surat kepada kita, memohon untuk balik (ke negara asal) selepas menjalani hukuman. Saya akan berikan bil (kos rawatan harian) kepada sesiapa yang cuba tahan mereka untuk kekal di Malaysia.

“Sesiapa sahaja warga asing bersalah di Malaysia, apabila sampai masa kita hantar pulang, kita hantar pulang. Apa hal pula kita hendak menahan warga asing yang telah menjalani segala hukuman di sini (Malaysia).

“Kenapa kita hendak tahan dan bayar lagi (kos perbelanjaan merawat mereka), buat apa? Kos lebih kurang RM30 sehari bagi seorang,” katanya pada sidang media sidang media Majlis Pelancaran Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Ismail Mohamed Said dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Sebelum ini, Malaysia dilapor memulakan penghantaran 1,200 pelarian Myanmar membabitkan pemohon suaka dan tahanan lain ke pelabuhan, selain kapal tentera laut negara itu sedang menunggu untuk membawa mereka pulang.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada kumpulan hak asasi manusia yang berusaha menghentikan pengusiran itu di mahkamah, atas alasan ia memberi risiko nyawa mereka.

Rentetan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 23 Februari lalu, membenarkan penangguhan sementara terhadap keputusan kerajaan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar yang sudah dibawa ke pangkalan tentera laut Lumut, Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top