Malaysia tidak akan berdiam diri isu Gaza – Amirudin

Malaysia tidak akan berdiam diri isu Gaza – Amirudin

SEPANG – Kerajaan Malaysia akan terus memperhebat tekanan diplomatik dan tindakan perundangan antarabangsa bagi mempertahankan rakyat Palestin serta membongkar kekejaman rejim Zionis di Gaza.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perjuangan untuk membebaskan Gaza tidak akan terhenti meskipun Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah selesai.

“GSF 2.O bukan hanya dengan menghantar kapten pasukan aktivis di laut, kita turut suarakan melalui persidangan di Brussels, baru- baru ini.

“Selepas ini, kita akan turut menilai dan ingin membawa persidangan itu di Malaysia pada masa depan kerana kita mahu setiap segi dan sendi perjuangan ini dapat dikembangkan, dapat diperkasakan dan membawa kepada pembebasan Gaza yang telah diimpikan sekian lama,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Kepulangan Aktivis Kemanusiaan GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini pada Ahad.

Amirudin berkata, rakyat Malaysia wajar berbangga dengan keberanian aktivis tempatan daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang sanggup mempertaruhkan masa, tenaga serta nyawa demi memperjuangkan isu kemanusiaan di Gaza.

Menurutnya, para aktivis terbabit bukan sahaja berdepan tekanan psikologi dan ancaman ketakutan, malah turut menerima serangan fizikal daripada pihak Zionis.

“Malaysia tidak akan berdiam diri, Parlimen tidak akan berdiam diri dan rakyat Malaysia juga tidak akan berdiam diri kerana mereka telah mencerca kedaulatan serta warga kita demi mempertahankan kemanusiaan.

“Satu usul berkaitan Gaza akan dibawa ke Parlimen dan yakin mendapat sokongan penuh daripada semua ahli Parlimen tanpa mengira latar belakang politik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan peguam kini sedang mengumpul dokumen dan bukti pelanggaran undang-undang antarabangsa melibatkan aktivis kemanusiaan yang didakwa diculik dan diseksa.

“Kita juga akan membawa perkara ini ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) selain meneruskan tekanan diplomatik.

“Pasukan ini, aktivis kita juga akan menjelajah seluruh negara, bercakap dan membawa hati Malaysia ke pentas dunia, kita akan turun di semua tempat sampaikan kerana ini adalah lambang kemanusiaan dunia abad ini yang harus kita selesaikan,” ujarnya.

Amirudin berkata, terdapat juga cubaan untuk menggagalkan misi solidariti tersebut melalui penyebaran maklumat palsu, serangan fizikal terhadap delegasi Malaysia dan tekanan terhadap ahli keluarga aktivis.

Bagaimanapun katanya, delegasi Malaysia telah membuktikan kesungguhan luar biasa dalam mempertahankan perjuangan Palestin.

“Hari ini terbukti negara dan rakyatnya sanggup mempertaruhkan apa pun demi kemanusiaan abad ini untuk membebaskan Gaza dan juga menghapuskan kejaman Zionis yang telah berlaku puluhan tahun,” katanya.

Scroll to Top