Malaysia tidak sepatutnya fail aduan kepada WTO berhubung diskriminasi EU

Malaysia tidak sepatutnya fail aduan kepada WTO berhubung diskriminasi EU

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak sepatutnya mengambil tindakan memfail aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung diskriminasi EU terhadap minyak sawit Kesatuan Eropah (EU) sebagaimana dilakukan Indonesia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana Akta Perwakilan Kuasa di bawah Tenaga yang boleh diperbaharui menyasarkan biobahan api yang berasaskan minyak sawit dan tidak menyentuh isu-isu kemampanan berkaitan minyak sawit secara umum.

“Indonesia adalah antara pengeluar biobahan api utama di dunia. PME (Palm Methyl Esters) merupakan input adunan biobahan api utama di Indonesia dan Malaysia.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh OilWorld, pada tahun 2023, dianggarkan 25.2 perayus (12.2 juta tan) daripada pengeluaran CPO Indonesia (48.4 juta tan) diproses untuk menghasilkan PME.

“Pada tempoh yang sama, hanya 7.7 peratus (1.4 juta tan) daripada pengeluaran CPO Malaysia diproses untuk menghasilkan PME,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Teresa Kok (DAP-Seputeh), yang meminta kementerian menyatakan sama ada keputusan WTO terhadap rayuan Malaysia berkenaan diskriminasi EU terhadap minyak sawit masih membenarkan EU untuk melaksanakan Akta Perwakilan Kuasa yang mengharamkan minyak sawit sebagai biofuel menjelang 2030.

Mengulas lanjut, Johari berkata, berdasarkan maklumat daripada agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport biobahan api berasaskan sawit ke EU bagi tahun 2023 adalah pada 5 peratus (134,302 tan) daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

Ujarnya, Malaysia tidak perlu turut memfailkan aduan kepada WTO sebaliknya, menyokong dan kekal sebagai pemerhati di dalam kes Indonesia dalam membela kelapa sawit sebagai sumber biobahan api daripada sebarang diskriminasi.

“Kedua-dua TBT (Malaysia menang tujuh, EU menang sembilan) dan GATT (Malaysia menang tiga, EU menang satu) bersifat teknikal.

“Namun, secara lazimnya, keputusan panel WTO telah memihak kepada Malaysia dan bersetuju bahawa langkah EU mengakibatkan sekatan perdagangan minyak sawit ke rantau EU dan layanan yang tidak sama rata (diskriminasi) terhadap minyak sawit jika dibandingkan dengan minyak sayuran keluaran negara lain seperti minyak rapeseed, minyak sunflower atau minyak kacang soya,” ujarnya.

Katanya lagi, kesimpulan akhir keputusan panel WTO secara verbatim jelas menyatakan bahawa EU perlu menyelaraskan peraturan mereka mengikut perjanjian-perjanjian TBT dan GATT sebelum membuat sebarang larangan terhadap pengimportan biobahan api daripada sumber minyak sawit. – MalaysiaGazette