Malaysia tumbang, peluang separuh akhir 'di kaki' Indonesia dan Myanmar

Malaysia tumbang, peluang separuh akhir 'di kaki' Indonesia dan Myanmar

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hajat Malaysia untuk mengesahkan kemaraan lebih awal ke separuh akhir acara bola sepak lelaki saingan Sukan Sea Thailand tidak kesampaian selepas tumbang di tangan Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Rajamangala, di Bangkok, hari ini.

Pasukan negara yang hanya memerlukan keputusan seri untuk muncul selaku juara Kumpulan B gagal memberi saingan kepada Vietnam yang tampil lebih ampuh untuk menundukkan skuad kendalian Nafuzi Zain dengan 0-2.

Kegagalan itu membolehkan Vietnam mengumpul enam mata maksimum selaku juara kumpulan dan mengesahkan tiket ke separuh akhir, manakala Malaysia kekal dengan tiga mata selepas menumbangkan Laos 4-1 sebelum ini.

Dengan itu, pasukan negara perlu menunggu satu lagi perlawanan dari Kumpulan C antara Myanmar dan Indonesia sebelum boleh mencongak peluang ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, skuad B-23 perlu mengharapkan keajaiban dan tuah untuk muncul selaku naib juara terbaik dengan mengharapkan aksi antara Myanmar dan Indonesia berakhir keputusan seri, atau salah satu pasukan berkenaan tidak boleh menang lebih tiga gol.

Untuk format kali ini, hanya juara dari setiap tiga kumpulan akan layak automatik ke separuh akhir dan satu naib juara terbaik akan melengkapkan empat pasukan di peringkat kalah mati itu.

Selain Vietnam yang sudah mengesahkan slot ke separuh akhir, Thailand dan Filipina turut menempah laluan lebih awal apabila masing-masing menjuarai Kumpulan A dan C.

Dalam aksi antara Malaysia dan Vietnam, pasukan negara dilihat gagal menandingi kepantasan pemain-pemain lawan yang cukup laju ketika melancarkan serangan balas.

Dua gol skuad Naga Emas itu disumbangkan Nguyen Hieu Minh menerusi tandukan yang dijaringkan pada minit ke-11 sebelum Pham Minh Phuc menambah gol kedua di minit-22.

Pasukan negara kendalian Nafuzi cuba bangkit di babak kedua, namun benteng lawan cukup ampuh bertahan sehingga wisel penamat, sekali gus menghampakan kem negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top