Malaysia turunkan tarif 6,911 produk AS kepada sifar

Malaysia turunkan tarif 6,911 produk AS kepada sifar

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia bersetuju menurunkan kadar tarif kepada sifar bagi 6,911 daripada 11,260 baris tarif atau produk yang diminta oleh Amerika Syarikat (AS), bersamaan 61 peratus dalam rundingan timbal balas dengan negara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh akses pasaran dan menggalakkan aliran dagangan dua hala yang lebih terbuka antara kedua-dua negara.

“Inilah pendekatan yang sistematik dan teratur untuk menentukan tawaran akhir Malaysia kepada AS, dan kami telah mengemukakan tawaran komprehensif yang merangkumi 98 peratus daripada semua baris tarif, namun hanya bersetuju untuk meliberalisasikan 61 peratus daripadanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan tarif oleh AS di sini, hari ini. Yang turut hadir Timbalannya, Liew Chin Tong.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Zafrul berkata, Malaysia turut mengumumkan komitmen untuk membeli 60 pesawat Boeing secara berfasa, dengan nilai keseluruhan sekitar AS$19 bilion (RM81.27 bilion), sebagai sebahagian daripada kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala.

“Dalam usaha menangani defisit dagangan dengan AS, kerajaan akan melaksanakan perolehan utama termasuk pembelian pesawat Boeing.

“Malaysia Aviation Group (MAG) telah komited untuk membeli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion bagi fasa pertama dan tambahan 30 pesawat Boeing lagi bernilai AS$9.5 bilion bagi fasa kedua yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.

Tengku Zafrul turut berkongsi beberapa ‘garis merah’ yang berjaya dipertahankan negara dalam rundingan tarif bersama AS, yang membawa kepada pengumuman kadar 19 peratus bagi Malaysia.

Katanya, ia antara lain membabitkan pengenaan duti eksais; pemansuhan lesen import bagi produk dari AS; liberalisasi pegangan ekuiti syarikat dalam sektor strategik negara; serta hak keistimewaan Bumiputera.

“Mereka meminta kita menghapuskan duti eksais, seperti mana yang anda tahu, duti ini dikenakan kepada tiga item iaitu kereta, tembakau dan minuman keras.

“Industri automotif penting bagi AS, namun kita juga punya industri automotif, kita menggaji 700,000 pekerja dalam sektor ini dan kita juga punya kereta nasional dan rantaian bekalan yang pelbagai.

“Dalam industri lain kita tidak ada duti eksais dan semua ini bagi mereka tidak adil, namun negara-negara (pengeksport) lain turut berdepan situasi sama. Kita ada polisi sendiri bagi memastikan kita terus kekal kompetitif.

“Buat masa ini, saya rasa kita belum bersedia lagi untuk menghapuskan halangan tersebut. Begitu juga dengan pegangan ekuiti dalam sektor strategik, serta beberapa permintaan mereka untuk mengkaji semula undang-undang pada platform digital,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top