SHAH ALAM – Malaysia merupakan sebuah rumah besar yang perlu dipelihara dan dibangunkan bersama oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang, sama ada pemimpin, penjawat awam, komuniti perniagaan, penggerak masyarakat sivil mahupun rakyat keseluruhannya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebagai pemerhati yang tidak terlibat secara langsung dengan dinamika baharu hubungan antara dua gabungan parti utama dalam Kerajaan Perpaduan-Madani, beliau mengakui kagum dan bersyukur dengan tahap kematangan politik yang ditunjukkan oleh rakan-rakannya dalam Jemaah Menteri.
Menurut beliau, meskipun terdapat perbezaan pendirian dan pertikaman lidah dalam kalangan pemimpin parti di luar kerajaan sejak beberapa bulan lalu, hubungan serta interaksi dalam mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional.
“Kematangan ini terbina atas kesedaran dan kebersamaan untuk membentuk konsensus perpaduan demi memastikan negara memiliki sebuah kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 bagi memandu hala tuju pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.
“Inilah landskap politik baharu negara yang perlu diterima selepas berakhirnya dominasi satu parti.
“Saya bersyukur kerana dapat melihat, belajar dan berada dalam suasana politik yang matang serta bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Armizan berkata, pengalaman tersebut memberinya pemahaman bahawa hak politik individu dan parti perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab yang lebih besar untuk membangunkan negara.
“Sehingga kini, inilah nilai dan makna yang saya peroleh daripada kematangan politik dan kepimpinan rakan-rakan Jemaah Menteri.
“Saya yakin ia terbina atas rasa kesedaran bahawa hak politik diri dan parti perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab membina negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sambutan Hari Kebangsaan yang diraikan setiap tahun pada 31 Ogos menjadi simbol kebersamaan seluruh rakyat Malaysia dalam menghargai nikmat kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi.
Menurutnya, sambutan tersebut bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi wadah untuk memperkukuh tekad membina masa depan negara secara bersama.
“Sambutan Bulan Kebangsaan adalah wahana untuk seluruh rakyat menzahirkan kebersamaan dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan.
“Walau apa jua persamaan atau perbezaan yang wujud, tanah air ini adalah milik bersama setiap warganegara dan pemilikan itu perlu dimaknai melalui hak serta tanggungjawab.
“Persoalan hak dan tanggungjawab itu juga terpakai kepada para pemimpin negara yang menerima mandat menerusi sistem demokrasi berparlimen,” ujarnya.
